Maybank IB tersenarai dalam Rangka Kerja ISSBNT Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Maybank IB tersenarai dalam Rangka Kerja ISSBNT Bursa Malaysia

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Sept - Bursa Malaysia menerima Maybank Investment Bank Berhad sebagai pembekal dan pengguna yang diluluskan di bawah Rangka Kerja Jual Beli Sekuriti Islam - Transaksi Rundingan (ISSBNT).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, sebagai pembekal dan pengguna yang diluluskan, Maybank IB akan memudahkan pembelian dan penjualan sekuriti patuh syariah, serta membolehkan aktiviti lindung nilai dan pengurusan risiko untuk peserta pasaran sambil mematuhi prinsip syariah.

 

"Kami gembira kerana Maybank IB menyertai kami untuk memudahkan dagangan aset syariah di bawah Rangka Kerja ISSBNT.

 

"Penambahan lebih banyak penyertaan organisasi di bawah Rangka Kerja ISSBNT menunjukkan komitmen kami untuk mengembangkan pasaran ekuiti Islam sebagai tindak balas kepada peningkatan permintaan untuk aset patuh Syariah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank IB, Datuk Fad’l Mohamed berkata, penyertaan itu membolehkan bank menyokong strategi pengurusan pelaburan pelanggan kerana ia melihat permintaan kukuh untuk aset patuh syariah dalam kalangan pelabur.

 

"Sekuriti patuh syariah membentuk 79% daripada sekuriti yang tersenarai di Bursa Malaysia.

 

"Terdapat potensi untuk membangunkan lagi pasaran modal Islam dan Maybank IB akan terus memainkan peranan aktif dalam menjadikan Malaysia peneraju dalam ruang ini," katanya.

 

Kemasukan Maybank IB adalah selepas CGS-CIMB Securities Sdn. Bhd. dan Kenanga Investment Bank Berhad sebagai pembekal dan pengguna yang diluluskan di bawah Rangka Kerja ISSBNT.

 

Sehingga kini, terdapat 179 sekuriti patuh syariah yang layak untuk transaksi ISSBNT, seperti yang disemak dan diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. - DagangNews.com