Maybank IB terus positif terhadap sektor perbankan, kekalkan unjuran pertumbuhan pinjaman industri bagi 2024 pada 4.6% | DagangNews Skip to main content

Maybank IB terus positif terhadap sektor perbankan, kekalkan unjuran pertumbuhan pinjaman industri bagi 2024 pada 4.6%

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 Dis - Maybank Investment Bank terus positif terhadap sektor perbankan dengan mengekalkan unjuran pertumbuhan pinjaman industri 2024 pada 4.6%.

 

“Berdasarkan jangkaan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang lebih pantas pada 2024, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan pinjaman industri 2024 sebanyak 4.6%,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma penyelidikan itu, penurunan dalam akaun semasa dan simpanan (CASA) dilihat terkawal, manakala kualiti aset masih baik.

 

Firma itu berkata pertumbuhan deposit meningkat sedikit kepada 2.8% YoY pada Oktober 2023 daripada 2.4% YoY pada September 2023, masih ketinggalan daripada pertumbuhan pinjaman.

 

“Setelah menguncup YoY dalam tempoh sembilan bulan berturut-turut sebelumnya, CASA akhirnya berubah mencatatkan pertumbuhan 0.1% YoY yang sangat kecil pada Oktober.

 

“Nisbah CASA industri ialah 29.3% pada akhir Oktober 2023, berbanding nisbah CASA sebelum COVID sebanyak 26.5% pada akhir Disember 2019 serta nisbah CASA puncak sebanyak 32.9% pada April 2022,” ulasnya.

 

Manakala kualiti aset masih baik, di mana dengan pinjaman terjejas terus meningkat secara sederhana sebanyak 3.4% setakat tahun ini, namun, nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) industri meningkat kepada 1.7% pada Oktober 2023 daripada 1.72% pada September 2023, berbanding nisbah sebelum COVID sebanyak 1.51% pada akhir Disember 2019.

 

Sementara itu, Maybank IB berkata penurunan pinjaman bukan isi rumah membayangkan bahawa pertumbuhan pinjaman industri mungkin kurang daripada unjuran firma tersebut sebanyak 4.6% untuk tahun ini.

 

Firma itu berkata pertumbuhan pinjaman industri merosot kepada hanya 4% tahun ke tahun (YoY) pada Oktober 2023 daripada 4.3% YoY pada September 2023.

 

Walaupun pertumbuhan pinjaman isi rumah bertahan dan bertambah baik daripada 5.6% YoY pada September 2023 kepada 5.8% YoY pada Oktober 2023, pertumbuhan pinjaman bukan isi rumah semakin perlahan kepada 1.5% YoY daripada 2.6% YoY, kerana pembayaran balik mengatasi pengeluaran.

 

Sementara itu, permohonan pinjaman berkembang bagi bulan kedua berturut-turut pada kadar dua digit sebanyak 11.4% YoY pada September 2023 dan 25.8% YoY pada Oktober 2023, merentasi semua segmen pinjaman pengguna kecuali kad kredit.

 

Dalam segmen isi rumah, permohonan pinjaman hartanah kediaman meningkat 19% YoY selepas menguncup dalam tempoh empat bulan berturut-turut sebelumnya, manakala permohonan pinjaman pembinaan dan modal kerja masing-masing melonjak 29% dan 11.5% YoY.  - DagangNews.com