Maybank IB unjur Malakoff catat kerugian pada FY23 kesan daripada margin bahan api negatif | DagangNews Skip to main content

Maybank IB unjur Malakoff catat kerugian pada FY23 kesan daripada margin bahan api negatif

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan Malakoff Corporation Berhad mencatatkan kerugian pada FY23 kesan daripada margin bahan api negatif yang ditanggung kumpulan itu.

 

Katanya, keadaan itu boleh menjejaskan prospek pemberian dividen jangka pendek kumpulan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'jual' terhadap kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) 52 sen sesaham," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Dari segi amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) 2.0, firma penyelidikan itu berkata, skor keseluruhan Malakoff ialah 50 (daripada 100) menjadikan purata penarafan ESG di bawah metodologi pemarkahan mereka.

 

Selain mempunyai rangka kerja yang mantap, dasar dalaman dan sasaran jangka sederhana dan panjang, Malakoff juga mempunyai sasaran ESG yang jelas.

 

"Loji janakuasa arang batu iaitu stesen janakuasa Tanjung Bin dan loji janakuasa Tanjung Bin Energy, (konsesi tamat pada 2031) menjadi penyumbang pendapatan utama, Malakoff perlu bersaing dengan stigma alam sekitar untuk masa depan yang lebih mampan," katanya.

 

Maybank IB berkata, rancangan mempelbagaikan tenaga boleh diperbaharui (RE) sudah dijalankan dengan kumpulan itu menyasarkan untuk mengumpul 1,400 MW kapasiti menjelang 2031 dan meneroka teknologi pembakaran bersama serta penukaran bahan api.

"Malakoff juga menyasarkan untuk mencapai pengurangan 30% dalam pelepasan karbon menjelang 2031 dan sifar bersih menjelang 2050," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga mempunyai perwakilan wanita yang agak rendah.

 

“Kami melihat perwakilan wanita dalam bahagian pengurusan adalah rendah dalam ruang utiliti (antara 10% hingga 15%) dan hanya seorang pengarah wanita dalam lembaga pengarah. 

 

"Mereka juga tidak mempunyai rancangan segera bagi meningkatkan perwakilan wanita dalam lembaga pengarah," katanya. - DagangNews.com