Maybank IB unjur trafik penumpang udara 2024 belum mampu capai tahap sebelum pandemik | DagangNews Skip to main content

Maybank IB unjur trafik penumpang udara 2024 belum mampu capai tahap sebelum pandemik

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 20 Feb - Maybank Investment Bank (Maybank IB) percaya industri penerbangan Malaysia tidak akan mampu mencatatkan lebihan kapasiti penumpang pada tahun ini. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran tahun ini pada tahap 93% penumpang udara untuk 2019, berbeza dengan jangkaan pemulihan penuh seperti sebelum pandemik oleh beberapa penganalisis.

 

Menurut Maybank IB, ini disebabkan kesukaran Boeing memenuhi penghantaran pesawat baru seperti dijadualkan sekali gus mengehadkan pertumbuhan bilangan pesawat syarikat penerbangan Malaysia.

 

Katanya, ketika ini terdapat 260 pesawat yang dikendalikan syarikat-syarikat penerbangan Malaysia berbanding 274 pesawat yang beroperasi pada akhir 2019.

 

Jumlah 260 pesawat yang dioperasikan ketika ini adalah bersamaan dengan bilangan pesawat pada penghujung 2017.

 

"Situasi ini akan membantu syarikat penerbangan mengekalkan kadar tambang tetapi menghalang trafik penumpang Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) daripada pulih kepada 100% tahap 2019 kerana kekurangan pesawat," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sebelum ini menjangkakan angka penumpang bagi 2024 melebihi 93.9 juta, pemulihan 98 peratus daripada tahap pandemik sebelum COVID-19 yang dilihat pada 2019.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat Boeing 737-8 pertama MAG mulakan penerbangan sulung KL-Kota Kinabalu

 

737
MAG menempah 25 pesawat 737-8 melalui pajakan operasinya dengan Air Lease Corporation (ALC), yang akan dihantar secara progresif sehingga tahun 2026.

 

Maybank IB berkata, penghantaran Boeing 737 MAX 8 Malaysia Airlines dan Batik Air bakal berlaku kelewatan setelah Boeing diarahkan oleh Pihak Penerbangaan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) untuk mengehadkan pengeluaran.

 

Katanya, ini susulan insiden melibatkan Alaskan Arline baru-baru ini sedangkan Boeing mempunyai tempahan Boeing 737 Max sebanyak 4,759 setakat 31 Januari lalu.

 

"Batik Air mempunyai 16 pesawat 737 Max 8 manakala Malaysia Airlines ketika ini tiga buah, daripada keseluruhan tempahan 25 pesawat model tersebut," jelasnya.

 

Sementara itu, Maybank IB dalam nota kajian itu mengekalkan saranan 'Beli' untuk CapitalA, AirAsia x dan MAHB.

 

"MAHB kekal berpotensi berikutan kemungkinan perjanjian operasi yang baharu dengan kerajaan Malaysia," katanya.- DagangNews.com