Oleh NABILA YASMIN RAZIB
KUALA LUMPUR 23 Sept. - Maybank Investment Bank dan UOB Malaysia mengumumkan pelantikan mereka sebagai penaja jamin dan ‘bookrunner’, secara bersama untuk kemudahan Islam bernilai RM2.0 bilion kepada Malayan Cement Berhad (MCB).
Ketua Pegawai Eksekutif, Maybank Investment Bank, Fad’l Mohamed berkata, kemudahan tersebut akan digunakan untuk membiayai pengambilalihan 10 syarikat dalam sektor simen dan konkrit siap campur di Malaysia oleh MCB dari syarikat induk, YTL Cement Berhad (YTL Cement).
Katanya, MCB akan menggunakan kemudahan Islam tersebut untuk membiayai pertimbangan tunai bagi pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti 10 syarikat dan anak syarikat masing-masing dari YTL Cement untuk jumlah pertimbangan yang dianggarkan pada RM5.2 bilion.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada MCB atas kepercayaan yang diberikan kepada Maybank untuk mengambil bahagian dalam transaksi mercu tanda ini sebagai Pengatur Utama Dimandatkan, ‘Bookrunner’ dan Penaja Jamin untuk penyelesaian pembiayaan Islam serta Penasihat Utama Tunggal untuk pelaksanaan pengambilalihan dan juga Penasihat Syariah untuk kemudahan Islam. Kami berharap untuk bekerjasama lebih lanjut dengan MCB apabila syarikat meneruskan perjalanan transformatif sebagai satu daripada perintis industri dalam bahan binaan tempatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, perjanjian itu juga dimeterai berikutan penerimaan anugerah Sukuk Baharu Terbaik (Korporat) dan Sekuritisasi Terbaik di Malaysia di Anugerah Kewangan Islam The Asset Triple A pada Ogos 2021, sekaligus membuktikan komitmen UOB dalam memenuhi keperluan kewangan pelanggan pelanggannya.
Dalam pada itu Pengarah Urusan YTL Cement dan MCB Dato’ Sri Michael Yeoh Sock Siong berkata, usaha pengambilalihan oleh MCB ini akan membolehkan syarikat memperkemas dan meningkatkan kecekapan operasi dalam memanfaatkan sumber, kepakaran dan pengalaman masing-masing.
"Penggabungan ini akan membantu kami mencapai skala ekonomi, meningkatkan kehadiran pasaran, mengurangkan fungsi pendua, dan akhirnya memberikan penyelesaian yang lancar kepada pelanggan kami. Kami merasa sukacita atas suatu pencapaian utama yang akan membawa kami maju selangkah kehadapan dalam merealisasikan rancangan pertumbuhan bagi MCB," ujarnya.
MCB yang dulu dikenali sebagai Lafarge Malaysia Berhad merupakan syarikat tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia. Kegiatan utama MCB adalah sebagai syarikat pegangan pelaburan. Melalui anak syarikatnya, MCB terlibat dalam pengeluaran, pembuatan dan perdagangan simen, klinker, konkrit siap campur dan bahan binaan lain serta produk berkaitan. -DagangNews.com