KUALA LUMPUR 22 Feb - Maybank Islamic Berhad (Maybank Islamic) akan melancarkan persidangan kepimpinan pemikiran global pertama seumpamanya yang menggabungkan antara platform global dan penyepaduan pembangunan mampan serta kewangan Islam dalam ekonomi halal.
The Global Connect Forum bertemakan "Memacu Impak Kemampanan Melalui Kewangan Islam," adalah kerjasama dengan IslamicMarkets Limited (IslamicMarkets) yang akan berlangsung pada 21 hingga 23 Mac 2022 secara dalam talian di IslamicMarkets.com, sebuah platform global yang menyediakan peluang kerjasama kepada profesional dan institusi dalam ekonomi Islam.
Forum berkenaan akan menampilkan ucapan khas, sesi bual santai (fireside chat) dan perbincangan panel yang menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin perniagaan, sarjana serta pemegang kepentingan utama daripada industri kewangan Islam dan ekonomi halal untuk berkongsi pandangan utama dan amalan terbaik industri.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, pemilihan tema forum tersebut bagi bertindak berdasarkan apa yang berlaku di sekeliling sekarang.
"Elemen Pembangunan Mampan menjadi lebih penting terutama sejak pandemik COVID-19 melanda dunia. Objektif utama forum ini adalah bagi menyediakan platform global untuk kerjasama, mengenai penyepaduan pembangunan mampan dan kewangan Islam.
"Kewangan Islam memerlukan keadilan sosial, keterangkuman kewangan dan amalan etika serta tanggungjawab sosial. Kesemua ini adalah teras kepada usaha dan inisiatif kemampanan.
"Dengan penjajaran yang ketara antara kewangan Islam dan prinsip kemampanan, kami percaya bahawa kewangan Islam akan mempunyai daya tarikan yang lebih luas dan lebih universal," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif IslamicMarkets, Shakeeb Saqlain pula berkata, peristiwa baru-baru ini menunjukkan terdapat hujah yang kukuh untuk kedua-dua kewangan Islam dan agenda kemampanan untuk melengkapkan pembangunan ekonomi halal global.
Beliau berkata, Global Connect Forum diadakan tepat pada masanya apabila terdapat keperluan untuk dialog yang bermakna untuk mengukuhkan lagi penumpuan pembangunan mampan, kewangan Islam dan rakan strategik ekonomi halal.
"Kami berasa berbesar hati dapat bekerjasama dengan Maybank Islamic kerana bank berkenaan mempercepatkan penggunaan amalan pembangunan mampan dalam ekonomi halal. Maybank Islamic merupakan peneraju dalam industri yang terkenal dengan inisiatif dan produk yang berimpak tinggi.
"Kami percaya bahawa forum ini akan memacu perubahan positif dalam ekonomi global dan menyokong pengawal selia dalam memperkemas dasar dan piawaian untuk pembangunan industri yang mampan," katanya. - DagangNews.com