Maybank Islamic antara 3 pengedar sukuk paling aktif pada 2022 | DagangNews Skip to main content

Maybank Islamic antara 3 pengedar sukuk paling aktif pada 2022

KUALA LUMPUR 17 Jan -  Maybank Islamic Bank adalah antara tiga pengedar utama paling aktif Program Sukuk IILM pada 2022, berdasarkan Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM). 

 

IILM, sebuah organisasi antarabangsa yang membangun dan mengeluarkan instrumen kewangan patuh syariah jangka pendek menjelaskan berdasarkan jumlah yang diperuntukkan di peringkat utama setakat akhir Disember 2022, sebanyak 37 sukuk telah diterbitkan dengan jumlah kumulatif sebanyak AS$13.88 bilion membabitkan Maybank Islamic Bank, Kuwait Finance House dan First Abu Dhabi Bank sebagai tiga pengedar utama. 

 

"Untuk aktiviti serta jejak pengedar utama di pasaran sekunder, berdasarkan jumlah dagangan sebanyak AS$2.23 bilion pada penghujung Disember 2022, tiga pengedar utama teratas adalah Kuwait Finance House, First Abu Dhabi Bank dan Al Baraka Turk," katanya dalam kenyataan semalam.

 

Penilaian kedudukan itu mengambil kira aspek penting peranan pengedar dalam mengagihkan sukuk IILM di peringkat utama dengan menjangkau asas pelabur yang luas selain memastikan kecairan instrumen Islam jangka pendek di pasaran sekunder. 

 

Penilaian pasaran utama adalah berdasarkan bidaan yang berjaya direalisasikan pada lelongan sepanjang tahun, manakala aktiviti pasaran sekunder disenaraikan berdasarkan perolehan dan peratusan sumbangan di pasaran sekunder.

 

Program sukuk jangka pendek IILM diberi penarafan A-1 oleh S&P dan F1 oleh Fitch Ratings.

 

Jumlah terkumpul sukuk IILM berada pada US$3.51 bilion dengan nisbah boleh dagang Syariah sebanyak 79% aset ketara setakat hari ini.
 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Umar Oseni berkata, pertumbuhan kukuh sektor pengurusan mudah tunai Islam rentas sempadan tidak akan dapat diraih tanpa penyertaan kukuh rangkaian peniaga utama IILM.

 

"Pasaran sekunder, khususnya telah menyaksikan peningkatan aktiviti dengan jumlah dagangan mencecah AS$2.23 bilion menjelang hujung tahun lepas,  yang merupakan tertinggi kita lihat setiap tahun sejak penubuhannya," katanya. -DagangNews.com