Maybank Islamic lancar akaun pelaburan baharu dengan pulangan tahunan 4.5% | DagangNews Skip to main content

Maybank Islamic lancar akaun pelaburan baharu dengan pulangan tahunan 4.5%

MOHAMED RAFIQUE (kiri) memegang e-brosur dengan Queeny Yip (tengah). Turut serta, Idham Sabki Baharum (kanan).
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Maybank Islamic Berhad melancarkan akaun pelaburan tertutup, Multi-Asset Inestment-i (MAIA) bertujuan memaksimumkan pulangan dengan pelaburan dalam portfolio pelbagai aset pembiayaan bank dan pasaran sekuriti patuh syariah.

 

Sebanyak 50% pelaburan MAIA akan dibuat ke dalam aset pembiayaan Maybank Islamic seperti gadai janji dan sewa beli.

 

Dalam masa sama, pembiayaan unit amanah sementara Maybank Islamic Asset Management (MIAM) yang dilantik sebagai Pengurus Pelaburan Luar akan melaburkan baki 50% dalam ekuiti patuh syariah dan Amanah Pelaburan Hartanah (REITs). 

 

Menyasarkan potensi pulangan yang lebih tinggi sebanyak 4.25% setahun untuk penempatan selama 3 tahun menjadikan MAIA satu pelaburan yang menarik memandangkan persekitaran kadar faedah yang agak rendah pada masa sekarang, kata bank itu dalam satu kenyataan. 

 

Jelas bank berkenaan, sasaran MAIA adalah untuk mencapai pelaburan sebanyak RM250 juta dan akaun pelaburan sedemikian merupakan julung kalinya ditawarkan oleh bank komersial di Malaysia. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique percaya MAIA dapat memenuhi keperluan para pelabur yang mencari pilihan pelaburan patuh syariah, bertujuan mengekalkan modal sambil menghasilkan pulangan yang stabil dan relatif lebih tinggi.

 

“Pelancaran MAIA adalah tonggak lain bagi Maybank Islamic kerana kami merupakan institusi perbankan Islam pertama yang mewujudkan produk pelaburan yang menawarkan peluang kepada pelabur untuk melabur bukan hanya pada aset pembiayaan bank yang kukuh tetapi juga sekuriti patuh syariah,” katanya dalam kenyataan sama. 

 

Majlis pelancaran produk pelaburan baharu itu dijalankan semalam. Turut hadir, Pengurus Hubungan Harta Maybank Premier, Queeny Yip dan Ketua Akaun Pelaburan Maybank Islamic, Idham Sabki Baharum.

 

Tambah Mohamed Rafique, dengan ketidaktentuan ekonomi semasa akibat penularan pandemik COVID-19, Maybank Islamic menyasarkan untuk membantu pelanggannya dalam mengembangkan pelaburan mereka, terutama yang mencari pulangan pendapatan berpotensi dan pertumbuhan modal. 

 

Mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) 2013, institusi kewangan Islam dibenarkan menjadi perantara pelaburan, dan Maybank Islamic adalah yang pertama merealisasikannya dengan pelancaran produk Akaun Pelaburannya (IA) pada tahun 2015. 

 

Di bawah produk IA, MAIA merupakan inovasi kedua produk pelaburan untuk Bank. 

 

MAIA memberi peluang kepada pelabur yang ingin meneroka peluang pelaburan pada jangka masa sederhana hingga panjang yang baharu dan akaun itu terbuka kepada individu serta pelabur institusi dengan pelaburan minimum sebanyak RM10,000. - DagangNews.com