Maybank Islamic lancar HalMap bantu PKS pasar produk halal ke luar negara | DagangNews Skip to main content

Maybank Islamic lancar HalMap bantu PKS pasar produk halal ke luar negara

PKS berpeluang mempromosikan produk mereka di Eccellente by HAO Mart di @Kinex Mall, Singapura, pada suku keempat ini. - Gambar TheSmartLocal Singapore

 


KUALA LUMPUR 17 Ogos - Maybank Islamic Berhad melancarkan inisiatif Halal Route to Market Program (HalMap) dengan objektif utama untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengembangkan produk mereka ke luar negara.

 

Program ini akan dimulakan dengan pemilihan 10 PKS yang layak untuk menceburi pasaran makanan halal di Singapura.

 

Di bawah program ini, PKS akan dibekalkan dengan platform pengedaran, perkhidmatan nasihat dan latihan untuk memasarkan produk mereka dalam sektor barang pengguna laris atau Fast Moving Consumer Goods (FMCG).

 

PKS yang terpilih itu dijangka dapat mempromosikan 50 produk mereka di rak-rak produk makanan Malaysia yang terletak pasar raya dan kedai runcit khas dikenali sebagai Eccellente by HAO Mart di @Kinex Mall, Singapura, pada suku keempat tahun ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, HalMap diharap dapat menjadi saluran baharu di samping memberi peluang tambahan kepada pelanggan PKS Maybank Islamic untuk memperluaskan operasi mereka.

 

Katanya, pihak bank berharap inisiatif ini dapat membantu memastikan PKS tempatan tetap berdaya tahan, walaupun sedang menghadapi banyak rintangan dan cabaran ketika ini.

 

“Kami juga komited untuk membantu bukan sahaja pelanggan PKS, tetapi juga pelanggan perbankan perniagaan dan perniagaan korporat untuk mengembangkan peluang perniagaan Halal mereka ke seluruh dunia. 

 

"Dengan ini, kami memfokuskan pada 4 skop untuk mendorong pertumbuhan rantaian bekalan halal, iaitu kesedaran, pembiayaan, kemampuan dan peningkatan kapasiti serta akses pasaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Selain itu, Maybank Islamic juga menjalin kerjasama strategik dengan amaxMALL Sdn. Bhd. (amaxMALL) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk menjayakan program ini. 

 

AamaxMALL merupakan satu platform perniagaan dalam talian dan fizikal untuk PKS dan mereka akan bekerjasama dengan HAO Mart untuk memasarkan dan mempromosikan produk PKS secara fizikal dan dalam talian.

 

Kerjasama dengan amaxMALL dan Matrade adalah sebahagian daripada usaha berterusan Maybank Islamic untuk memanfaatkan pasaran halal yang terus berkembang dengan meningkatkan kesedaran industri halal, jumlah syarikat baharu yang disahkan halal sekali gus membantu perniagaan mereka berkembang di pasaran luar negara.

 

Kerjasama antara amaxMALL dan HAO Mart telah memasuki tahun kedua di mana platform amaxMALL digunakan untuk produk PKS Malaysia yang ditempatkan di pasar raya Eccellente by HAO Mart di Singapura. 

 

Pada masa kini terdapat 84 produk PKS Malaysia yang diletakkan di rak Malaysia Bay di pasar raya berkenaan.

 

Sementara itu, CEO amaxMALL, Datin Dr Nik Sarina Hashim berkata, ini adalah peluang terbesar bagi produk Halal PKS Malaysia untuk memperluaskan jangkauannya ke pasaran eksport. 

 

"Tahun ini, kami berasa berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Maybank Islamic melalui inisiatif HalMapnya dan kami berharap ia dapat menambahkan jumlah vendor baharu ini ke dalam portfolio vendor PKS Malaysia syarikat kami untuk bersama membantu mereka dalam akses pasaran ke Singapura," katanya.

 

Selain HalMap, amaxMALL juga bekerjasama dengan Matrade di eBizLink, menerusi inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) baharu yang dimandatkan kepada Matrade untuk meningkatkan promosi pasaran eksport Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, pelancaran program HalMap ini yang dilihat tepat pada masanya untuk menyokong industri PKS bagi mengesan pemulihan perniagaan mereka dengan cepat melalui aktiviti mengeksport. - DagangNews.com