Maybank jangka lebih banyak inisiatif diperkenal bagi mempromosi Malaysia sebagai pusat pelaburan | DagangNews Skip to main content

Maybank jangka lebih banyak inisiatif diperkenal bagi mempromosi Malaysia sebagai pusat pelaburan

(Dari kiri) Michael Oh-Lau, Datuk Muzaffar Hisham, Datuk Khairussaleh Ramli, Dr John Lee

KUALA LUMPUR 20 Jun - Malayan Banking Bhd (Maybank) percaya kerajaan akan terus mengumumkan lebih banyak inisiatif untuk mempromosikan Malaysia sebagai pusat pelaburan.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata langkah yang diambil kerajaan akan membantu mengurangkan geseran dalam pasaran.

 

"Kami percaya ini hanyalah permulaan kepada lebih banyak perkembangan yang akan datang dan ia pastinya sesuatu yang menarik untuk dinantikan," katanya dalam sidang media di luar persidangan Maybank Invest Asean 2023 yang diadakan secara hibrid di Singapura hari ini, menurut laporan Bernama.

 

 

Datuk Khairussaleh Ramli
Datuk Khairussaleh Ramli

 

 

Pada Isnin, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan langkah-langkah termasuk mengurangkan kadar duti setem bagi saham yang didagangkan di Bursa Malaysia, mempromosikan usaha niaga korporat serta memudahkan proses penyenaraian untuk meningkatkan pasaran modal dan mencipta lebih banyak kekayaan untuk rakyat.

 

Sejajar dengan usaha kerajaan, Khairussaleh berkata kumpulan itu akan terus menawarkan peluang yang mungkin belum ditemui oleh komuniti pelabur.

 

Tambahnya, kumpulan itu mungkin boleh menggalakkan pelabur bukan sahaja melihat pada peringkat makro tetapi juga melihat potensi syarikat individu dan matlamat kumpulan itu adalah untuk menggerakkan AS$17 bilion atau RM80 bilion dalam kewangan mampan menjelang 2025.

 

"Sehingga Mac 2023, saya berbesar hati untuk menyatakan bahawa kami telah menggerakkan sejumlah AS$8.4 bilion (RM38.8 bilion) untuk menyokong inisiatif peralihan karbon rendah dan hasil pembangunan mampan," katanya.

 

Sementara itu, CEO Perbankan Global Kumpulan Maybank, Datuk Muzaffar Hisham berharap kumpulan itu dapat bekerjasama rapat dengan penggubal dasar mengenai penyahkarbonan, terutamanya dalam perdagangan karbon bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh rantau ASEAN.

 

"Pada dasarnya, kami mahu memimpin dan dari segi penyelidikan, pasukan penyelidik kami telah menghasilkan pemarkahan proprietari alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk sehingga 300 syarikat dan analisis ESG di ASEAN.

 

"Malah kami (telah) membina model kami sendiri untuk mengira kemampanan syarikat yang semuanya diterbitkan dalam laporan penyelidikan kami," kata Muzaffar.

 

Sementara itu, CEO Maybank Investment Banking Group, Michael Oh-Lau menjangkakan pelaburan untuk teknologi boleh diperbaharui dan teknologi hijau lain akan terus meningkat tahun ini dan pada tahun-tahun akan datang di ASEAN, disokong oleh pembiayaan hutang yang mampan.

 

Beliau berkata dengan adanya Piawaian Bon Berkaitan Kemampanan Forum Pasaran Modal ASEAN, industri mempunyai lebih fleksibiliti dalam menyertai pasaran kewangan yang mampan.

 

"Kami boleh menjangkakan terbitan lebih tinggi bagi instrumen berkaitan kemampanan dan peralihan sebagai tambahan kepada instrumen hijau, sosial atau kemampanan konvensional. Kami berada di titik penting dalam perjalanan peralihan ASEAN," katanya. -DagangNews.com