Maybank perkenal pengaktifan 'Secure2u' melalui mesin ATM mulai 31 Oktober ini | DagangNews Skip to main content

Maybank perkenal pengaktifan 'Secure2u' melalui mesin ATM mulai 31 Oktober ini

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Okt - Pelanggan Maybank yang mendaftar 'Secure2u' buat kali pertama atau pada peranti lain atau baharu, boleh mengaktifkannya dengan selamat dan mudah melalui mana-mana mesin juruwang automatik (ATM) Maybank di seluruh negara bermula 31 Oktober ini.

 

Maybank berkata, langkah tambahan itu bertujuan untuk mengurangkan transaksi tanpa kebenaran dan aktiviti penipuan, di atas lima langkah utama untuk memerangi penipuan kewangan yang dilaksanakan pihak Bank pada Julai 2023.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong berkata, penggunaan pengaktifan Secure2u sendiri melalui ATM membolehkan pelanggan mengawal proses pengesahan perbankan dalam talian mereka dengan lebih baik, dengan pengesahan identiti secara fizikal di ATM.

 

"Ini akan meningkatkan pengawasan ke atas akaun mereka dan membantu melindungi wang mereka daripada penipuan. Kami juga telah menjadikan proses ini mudah dan ringkas, dengan mengambil kira pengalaman pelanggan.

 

"Untuk mendaftar Secure2u, pelanggan hanya perlu mengikuti dua langkah mudah. Pertama, daftar Secure2u dalam aplikasi MAE, dan kedua, aktifkan Secure2u dengan nombor PIN kad debit, kredit, atau caj mereka di mana-mana daripada 3,000 ATM Maybank di seluruh negara, mengikut keselesaan mereka.

 

"Selepas pengaktifan Secure2u melalui ATM, pelanggan boleh mula meluluskan transaksi selepas 12 jam. Untuk terus melindungi para pelanggan, tempoh bertenang mungkin berbeza setelah bank mengkaji trend penipuan dan corak transaksi secara berterusan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut Chong, langkah itu adalah penting dan bertindak sebagai lapisan tambahan untuk menghalang penipu, memastikan bahawa hanya pelanggan sahaja yang menjadi satu-satunya yang di benarkan meluluskan pendaftaran Secure2u mereka.

 

 

maybank

 

 

Dengan rangkaian ATM yang meluas di seluruh negara, Maybank menyediakan akses mudah kepada para pelanggan untuk melakukan pengaktifan Secure2u.

 

ATM Maybank beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari dan bertempat di lokasi strategik, seperti di cawangan, pusat perkhidmatan, serta di pusat beli- belah terpilih, stesen minyak, stesen kereta api, hospital, dan banyak lagi.

 

"Di Maybank, kami tetap teguh dalam usaha untuk melindungi keselamatan kewangan pelanggan kami daripada scammer dan mengambikira semua langkah yang ada untuk mengesan dan menyekat penipuan kewangan.

 

"Selain daripada semakan berkala dan penambahbaikkan yang kami lakukan untuk mengukuhkan pertahanan sistem perbankan kami daripada scammer, kami juga memperluaskan perkongsian anti-penipuan kami ke dalam ekosistem kewangan yang lebih luas dan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi, penyedia e-dompet dan agensi kerajaan untuk menghentikan scammer di semua tahap," tambah Chong.

 

Selain itu, pelanggan disarankan untuk mengikuti tiga peraturan kebersihan siber yang mudah, untuk melindungi diri daripada scammer, antaranya jangan klik pada hiperpautan daripada sumber yang tidak diketahui, jangan memuat turun sebarang aplikasi dari mana-mana pautan, kecuali yang terdapat di gedung aplikasi rasmi dan jangan berkongsi nama pengguna dan kata laluan dengan sesiapa sahaja, termasuk rakan-rakan dan ahli keluarga. - DagangNews.com