KUALA LUMPUR 5 Julai - Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dan bagi meluaskan jangkauan perkhidmatan kewangannya kepada lebih ramai pelanggan terutamanya di kawasan luar bandar, Maybank telah memperluaskan perkhidmatan perbankan bas mudah alih atau ‘Bank Bergerak’ meliputi dua laluan baharu di pedalaman Pahang.
Perkhidmatan perbankan bas mudah alih baharu kini meliputi Lepar Hilir dan Kuala Pahang sebagai tambahan kepada lapan laluan sedia ada, menjadikan bilangan laluan kepada 10 laluan berkuat kuasa 4 Julai 2022.
Bas Mudah Alih Maybank yang diperkenalkan pada tahun 1978 telah menyediakan perkhidmatan perbankan asas kepada komuniti yang tinggal di kawasan terpencil yang kurang mendapat perkhidmatan dan mempunyai akses terhad atau tiada akses kepada perkhidmatan perbankan.
Bas ini menawarkan rangkaian perkhidmatan perbankan termasuk deposit, pengeluaran, pembayaran, pembukaan dan penutupan akaun serta penyediaan arahan tetap. Ia dikendalikan oleh dua orang pegawai, seorang juruwang dan seorang pemandu.
Untuk keselesaan dan ketenangan fikiran pelanggan, ia juga dilengkapi sepenuhnya dengan CCTV dan pengawal bersenjata pada setiap masa bagi memastikan keselamatan semasa berurus niaga.
Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Malaysia, Datuk Hamirullah Boorhan berkata, perluasan perkhidmatan perbankan bas mudah alih adalah sejajar dengan usaha Kumpulan untuk meningkatkan lagi rangkuman kewangan bagi pelanggan di kawasan luar bandar, dengan menawarkan kemudahan dan akses yang lebih mudah serta membantu mengurangkan masa perjalanan dalam melaksanakan kewajipan perbankan mereka.
“Kami komited untuk merapatkan diri di dalam masyarakat setempat dan sentiasa mencari jalan bagi menambah baik tawaran perkhidmatan serta membantu mengatasi cabaran yang dihadapi oleh pelanggan kami di kawasan terpencil seperti di daerah Maran, Gambang, Pekan, Kuantan, Ulu Lepar dan Kuala Pahang.
"Selaras dengan misi kami dalam Menginsankan Perkhidmatan Kewangan dan berada dekat dengan masyarakat, matlamat kami adalah untuk memastikan bahawa penduduk di kawasan ini akan dapat bermanfaat daripada pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan yang tersedia melalui bank yang seolah-olah berada di depan pintu rumah mereka,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagi meraikan pengenalan laluan baharu serta mempamerkan ‘Bank Bergerak’ yang telah diperbaharui, satu majlis pelancaran telah diadakan di Dewan Baiduri Felda Lepar Hilir 1 di mana tetamu dapat mengunjungi "cawangan tersedia ada" dan menyertai pelbagai permainan yang menawarkan ganjaran menarik serta sesi Soal Jawab untuk menjelaskan sebarang pertanyaan yang mereka ada tentang perkhidmatan bas mudah alih.
Hamirullah menambah bahawa lapan laluan itu telah mendapat sokongan yang semakin meningkat daripada komuniti yang dilayan dan telah mencatatkan purata pertumbuhan 20% dalam bilangan pelanggan yang dilayan sejak 3 tahun lepas.
“Dengan penambahan dua laluan baharu ini, kami menjangkakan untuk memberi perkhidmatan kepada sekurang-kurangnya 15% lebih ramai pelanggan setiap tahun, dan kami akan melihat kemungkinan meluaskan perkhidmatan ini ke lebih banyak kawasan jika boleh,” tambahnya.
Sebanyak 10 laluan itu meliputi jarak kira-kira 500 km, berbanding 420 km sebelum ini untuk 8 laluan, dengan setiap lokasi kini memberi perkhidmatan setiap dua minggu.
Kedua-dua laluan yang baharu diperkenalkan itu juga merupakan sebahagian daripada sokongan berterusan Maybank terhadap inisiatif ‘PEMULIH’ Bank Negara yang bertujuan untuk memperluaskan rangkuman kewangan dengan objektif untuk menyediakan perkhidmatan kewangan yang lebih baik kepada komuniti yang mempunyai perkhidmatan kewangan yang minimum. - DagangNews.com