Maybank tingkatkan keselamatan perbankan dalam talian banteras penipuan kewangan | DagangNews Skip to main content

Maybank tingkatkan keselamatan perbankan dalam talian banteras penipuan kewangan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Sept - Maybank akan bertukar sepenuhnya kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat melalui Secure2u menjelang Jun 2023 untuk aktiviti atau transaksi dalam talian, berkaitan dengan pembukaan akaun, pemindahan dana dan pembayaran serta perubahan kepada maklumat peribadi dan tetapan akaun. 

 

Ia adalah selaras dengan cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk bank menukar daripada kata laluan satu kali SMS (SMS one time passwords) kepada pengesahan yang lebih selamat untuk transaksi itu. 

 

Pada masa ini, Maybank hanya membenarkan Secure2u untuk satu peranti bagi setiap pemegang akaun (setiap pelanggan) untuk meminimumkan kemungkinan butiran perbankan dalam talian pelanggan dikompromi atau digunakan oleh mana-mana pihak ketiga. 

 

Sebagai langkah keselamatan tambahan, Maybank memaklumkan pelanggan melalui SMS, ‘push notification’ dan e-mel apabila Secure2u telah didaftarkan pada peranti baharu.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, ia adalah sejajar dengan usaha bank untuk mengutamakan keselamatan simpanan dan transaksi perbankan dalam talian pelanggannya pada setiap masa.

 

Beliau berkata, mereka kekal komited dalam membantu pelanggan bagi mengelakkan mereka daripada ditipu oleh penipu. 

 

"Ini dilakukan melalui langkah keselamatan sedia ada pada masa ini dan ketika kami secara berperingkat melancarkan lebih banyak langkah yang boleh membantu untuk menghalang atau meminimumkan kemungkinan pelanggan menjadi mangsa penipuan kewangan.

 

 

maybank
Datuk Khairussaleh Ramli

 

 

“Kami juga menyokong pengumuman BNM pada 26 September 2022 berhubung lima langkah yang akan diguna pakai oleh bank-bank di Malaysia bagi memastikan kepiawaian keselamatan lebih tinggi, terutamanya bagi perkhidmatan perbankan internet dan mudah alih. 

 

"Industri perbankan komited untuk bekerjasama untuk memerangi penipuan kewangan yang semakin berleluasa dalam persekitaran digital hari ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menjelang suku keempat 2022, Maybank juga akan memperkenalkan tempoh bertenang setelah pelanggan mengaktifkan Secure2u pada peranti berbeza untuk membantu menghalang kelulusan tanpa kebenaran. 

 

Tempoh bertenang sebelum pengaktifan Secure2u pada peranti mudah alih baharu akan memberikan masa yang secukupnya untuk pelanggan mengesah dan melapor kepada bank sekiranya berlaku sebarang pendaftaran tanpa kebenaran. 

 

Bank telah memperkenalkan penggunaan Secure2u pada April 2017 sebagai cara yang lebih selamat dan mudah untuk pelanggan Maybank meluluskan transaksi Maybank2u dan MAE, menggunakan ‘Secure Verification’ (kelulusan sekali tekan) dan kod pengaktifan transaksi selamat (nombor TAC enam digit yang dijana pada aplikasi mudah alih). Ciri ini adalah alternatif kepada SMS TAC. 

 

Maybank sudah pun mempunyai talian hotline 24/7 khusus untuk pelanggan melaporkan insiden penipuan kewangan. 

 

Pelanggan digesa untuk menghubungi talian hotline penipuan di +603 5891 4744 dengan kadar yang segera jika mereka mengesyaki butiran perbankan mereka telah terjejas atau telah berlaku transaksi yang mencurigakan atau sekiranya mereka ingin menggantung akaun bank mereka dengan pantas. 

 

Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh menghubungi Talian Perkhidmatan Pelanggan Maybank di 1-300-88-6688 berhubung perkara di atas. Ini akan membolehkan bank membantu pelanggan dengan segera untuk mencegah kerugian berlanjutan dengan segera. - DagangNews.com