Maynuu guna sistem penghantaran Delyva bantu peniaga F&B kecil | DagangNews Skip to main content

Maynuu guna sistem penghantaran Delyva bantu peniaga F&B kecil

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Jun - Maynuu telah mengintegrasikan platform e-dagangnya yang digunakan oleh peniaga kecil industri makanan dan minuman (F&B) untuk memasarkan produk, dengan sistem pengurusan penghantaran DelyvaX.

 

Sistem tersebut oleh dibangunkan Delyva Sdn. Bhd. yang dapat membantu para peniaga di platform Maynuu untuk menguruskan penghantaran segera dengan cekap. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Delyva, Hanif Wahid berkata, ramai peniaga industri berkenaan menggunakan aplikasi pesanan seperti WhatsApp, tetapi kaedah tersebut didakwa tidak cekap bagi pengurusan penghantaran atau pesanan yang banyak secara serentak. 

 

Hanif Wahid
Hanif Wahid

 

“Kami seronok dapat bekerjasama dengan Maynuu membantu perniagaan F&B kecil berkembang. Kami nampak ramai peniaga menghadapi kesukaran mengurus penghantaran kerana tidak mempunyai sistem yang betul,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini. 

 

Menerusi sistem tersebut, para peniaga boleh menubuhkan pasukan penghantaran sendiri, menambah atau mengeluarkan staf penghantaran daripada pasukan, mengira komisen penghantar, dan memantau aktiviti pengambilan dan penghantaran. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maynuu, Wafiq Rodzuan menjelaskan bahawa Delyva membantu meringankan beban mengurus penghantaran pesanan dalam kalangan peniaga F&B mereka. 

 

Wafiq Rodzuan
Wafiq Rodzuan

 

“Lebih daripada 50 peniaga telah sedia mengaktifkan Delyva dalam akaun mereka. Integrasi dengan Delyva membolehkan para peniaga kami mengoptimumkan kos dan menjalankan perniagaan mereka dengan cekap,” katanya.

 

Dalam pada itu, pemilik perniagaan kecil, Mok Chan Heng yang mengusahakan Nono’s Homemade dan menjual makanan seperti kek pandan, melihat integrasi tersebut sebagai berita baik

 

“Maynuu banyak membantu perniagaan kami. Integrasi dengan Delyva menguntungkan kami kerana pelanggan dapat memilih servis penghantaran yang mereka suka. 

 

“Pada masa wabak sekarang kami kekurangan pekerja. Jadi, bagus kami boleh mengakses pelbagai perkhidmatan penghantaran yang boleh dipercayai daripada satu sumber sahaja,” ujar Chan Heng.

 

Antara peralatan yang disediakan oleh Delyva untuk peniaga F&B yang mempunyai pasukan penghantaran sendiri ialah aplikasi pemandu yang menjadikan pengurusan penghantaran lebih cekap bagi kedua-dua peniaga dan penghantar. 

 

Sementara itu, pelanggan yang membuat pesanan menggunakan Maynuu pula boleh mula menggunakan ciri baharu iaitu menjejak lokasi penghantar. - DagangNews.com