IPOH 23 Nov - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hari ini mengumumkan senarai penuh portfolio Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Mereka membariskan gabungan pemimpin berpengalaman serta baharu termasuk yang pernah menjadi Exco pada kerajaan sebelum ini.
Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan memegang portfolio Exco Agama Islam, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan GLC.
Sementara itu, ADUN Lintang, Datuk Mohd. Zolkafly Harun sebagai Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan.
Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (ADUN Sungai Rapat) memegang portfolio Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam manakala A Sivanesan (ADUN Sungkai) sebagai Exco Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India.
ADUN Jalong, Loh Sze Yee dilantik Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor; Salbiah Mohamed (ADUN Temengor) Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan dan Teh Kok Lim (ADUN Aulong) Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau.
Saarani berkata, ADUN Teja, Sandrea Ng Shy Ching pula memegang portfolio Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Khairudin Abu Hanipah (ADUN Belanja) Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan.
Mohd. Azlan Helmi Helmi (ADUN Tualang Sekah) dilantik Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO dan Woo Kah Leong (ADUN Pasir Berdamar) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina.
"Semua Exco sudah mengadakan mesyuarat buat kali pertama bagi membincang dan memutuskan beberapa perkara penting.
"Antaranya, mesyuarat bersetuju supaya Mesyuarat Pertama dan Mesyuarat Kedua Tahun Pertama Dewan Negeri Ke-15 Perak Darul Ridzuan akan diadakan pada 19 Disember ini bagi pembentangan Bajet 2023," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, 10 ADUN yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar.
Barisan Exco kerajaan perpaduan Perak ini diwakili tujuh daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tiga. – DagangNews.com