MB World, Greenland bekerjasama laksana pembangunan bercampur bernilai RM2.4 bilion di Danga Bay | DagangNews Skip to main content

MB World, Greenland bekerjasama laksana pembangunan bercampur bernilai RM2.4 bilion di Danga Bay

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Nov - MB World Group Berhad menerusi MB World Properties Sdn. Bhd. memeterai perjanjian hak pembangunan (DRA) bersama Danga Jed Development Malaysia Sdn. Bhd.iaitu anak syarikat Greenland Group bagi menjalankan projek pembangunan bercampur di Danga Bay.

 

Menerusi perjanjian itu, Danga Jed Development akan memberikan hak pembangunan tanah tersebut kepada MB World.

 

Pembangunan bercampur itu merangkumi tiga bidang tanah seluas 6.88 hektar itu akan menawarkan 2,930 pangsapuri servis serta lapan rumah bandar dan ia akan dibangunkan dalam tiga fasa dan mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.4 bilion.

 

Fasa pertama berjumlah 2,003 unit dengan GDV RM1.35 bilion dijangka dilancarkan pada suku pertama 2024 dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

 

Projek itu berada di lokasi strategik di sepanjang Danga Bay dengan akses mudah ke pelbagai destinasi popular dan hab pengangkutan termasuk Kompleks CIQ Johor Baru, Johor Baru Sentral dan Stesen RTS Link Bukit Chagar yang akan datang.

 

Pengarah Eksekutif MB World, Cindi Sim berkata, dengan lokasinya yang strategik di sepanjang Danga Bay, projek itu akan menyediakan kehidupan yang lebih menarik di kawasan kejiranan pinggir laut.

 

“Perjanjian itu bukan sahaja akan memberikan hak pembangunan ke atas tanah dan membawa keterlihatan pendapatan kepada syarikat. Ia juga akan membantu mengembangkan jejak syarikat di pusat bandar," katanya.

 

Satu lagi projek utama yang sedang dijalankan oleh syarikat di pusat bandar ialah pembangunan MBW City, yang terdiri daripada Veranda Residences, Trellis Residences dan Avenue Residences dengan gabungan GDV sebanyak RM2.2 bilion.

 

Veranda Residences (fasa satu) dengan jumlah 649 unit dan anggaran GDV sebanyak RM308 juta telah dijual sepenuhnya dan dijangka memperoleh sijil siap dan pematuhan menjelang akhir tahun ini.

 

Trellis Residences yang menawarkan 1,302 unit dengan anggaran GDV sebanyak RM581 juta adalah 90% terjual manakala Avenue Residences mempunyai 1,796 unit dan anggaran GDV sebanyak RM956 jut dan 51% daripada lot bukan bumiputera telah ditempah semasa tempoh pra pelancaran.

 

Fasa terakhir MBW City, Veranda Residences (fasa dua) dengan jumlah 649 unit dan anggaran GDV RM369 juta, dijangka dilancarkan pada 2025.

 

Projek terbaharu MB World di Johor Baru juga termasuk Sierra Heights, Meldrum Heights, Aliff Heights dan Idaman Heights berjumlah 2,525 unit dengan gabungan GDV RM1.2 bilion. - DagangNews.com