MBSB Bank bantu pihak berkuasa tangkap sindiket kes pengeluaran wang secara haram | DagangNews Skip to main content

MBSB Bank bantu pihak berkuasa tangkap sindiket kes pengeluaran wang secara haram

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 Jun - MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) sedang giat bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan penyelesaian yang pantas dan teliti bagi kes pengeluaran secara haram yang berlaku di Kota Kinabalu.

 

Menurut MBSB Bank, hasil semakan dalaman yang menyeluruh dan teliti juga telah mendorong siasatan awal polis dalam kes berkenaan.

 

"Keutamaan kami ialah keselamatan dan kepercayaan pelanggan kami. Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk memastikan pesalah dibawa ke muka pengadilan. 

 

 

"Kami telah membayar balik semua wang yang dikeluarkan secara haram daripada akaun pelanggan yang terjejas," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Jelas MBSB Bank, insiden ini membabitkan sindiket yang bersekongkol dengan kakitangan tertentu, kini ditahan polis untuk melakukan pengeluaran haram yang disahkan melalui kad pengenalan (NRIC) palsu yang digunakan sindiket itu.

 

"MBSB Bank komited untuk mengekalkan integriti keselamatan perbankan untuk semua pelanggan kami dan akan terus bekerjasama dengan polis dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan mereka yang terlibat menghadapi akibat sepenuhnya daripada tindakan mereka," jelasnya.

 

Seramai 14 individu ditahan pihak berkuasa setakat semalam termasuk empat kakitangan bank bagi membantu siasatan kes pengeluaran secara haram.

 

Polis menerima empat laporan daripada pemilik akaun dan kakitangan bank pada awal Jun lepas di Petaling Jaya, Selangor, selepas mangsa menyedari pengeluaran wang mencurigakan yang dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) sehubungan itu mahu semua pemegang akaun yang terjejas dalam kes kehilangan wang daripada beberapa akaun simpanan tetap membabitkan kerugian berjumlah RM24.2 juta itu perlu mendapat bayaran balik dengan segera. - DagangNews.com