Untung bersih Hiap Teck pada 3QFY24 melonjak 3 kali ganda kepada RM46.8 juta didorong jumlah jualan tinggi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Hiap Teck pada 3QFY24 melonjak 3 kali ganda kepada RM46.8 juta didorong jumlah jualan tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Jun - Untung bersih Hiap Teck Venture Bhd pada suku ketiga berakhir 30 April 2024 (3QFY24) melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM46.8 juta berbanding RM15.02 juta pada tahun sebelumnya didorong jumlah jualan yang lebih tinggi.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku berkenaan juga meningkat kepada RM399.67 juta berbanding RM373.03 juta pada tahun sebelumnya.

 

Katanya, perkembangan sederhana itu didorong jumlah jualan yang lebih tinggi walaupun terdapat penurunan dalam purata harga jualan.

 

"Bahagian dagangan mencatatkan penurunan hasil sebanyak 10% kepada RM205.24 juta berbanding RM227.85 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas, disebabkan oleh harga jualan purata yang lebih rendah.

 

"Sebaliknya, bahagian pembuatan melaporkan peningkatan 29% dalam hasil, mencecah RM196.81 juta, meningkat daripada RM152.31 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya," katanya.

 

Hiap Teck berkata, keuntungan kumpulan daripada operasi bagi suku semasa berjumlah RM19.69 juta, mencerminkan penurunan berbanding RM22.09 juta pada suku yang sama tahun lepas.

 

Katanya, penurunan itu disebabkan harga jualan purata yang lebih rendah dan kos jualan yang lebih tinggi.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu kekal dengan komitmen terhadap daya than strategik dan terus memberi focus kepada strategi perolehan yang berkesan, pengurusan inventori yang cekap serta penambah baikan operasi berterusan.

 

Katanya, menjelang suku tahun akhir, pihaknya berjaya menggunakan 90% daripada kapasiti relau  baharu dan menyiapkan kemudahan tambahan lain.

 

"Kami menjangkakan pertumbuhan hasil yang ketara dan penjimatan kos yang ketara daripada skala ekonomi dalam entiti usaha sama kami.

 

"Tanpa keadaan yang tidak dijangka, kami menjangkakan sumbangan yang besar dan hasil positif daripada usaha niaga ini pada suku akan datang," katanya.- DagangNews.com