MBSB Bank, Waqaf Felda tawar kemudahan kepada pelanggan sumbang wakaf | DagangNews Skip to main content

MBSB Bank, Waqaf Felda tawar kemudahan kepada pelanggan sumbang wakaf

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Sept - MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) menjalinkan kerjasama strategik dengan Waqaf Felda bagi memberi kemudahan kepada para pelanggannya untuk menyumbang wakaf.

 

Ia dilihat sebagai satu usaha yang tepat memandangkan MBSB Bank merupakan sebuah bank Islam sepenuhnya yang menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islam. 

 

Waqaf Felda, sebuah agensi yang bertanggungjawab mengendalikan sumber wakaf Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan membantu menguruskan proses wakaf untuk pelanggan-pelanggan MBSB Bank. 

 

Menerusi kempen Pembiayaan Peribadi-i (PFi) X-Change, MBSB Bank akan mewakafkan RM50 menerusi Waqaf Felda bagi setiap pelanggan kempen ini yang layak dan beragama Islam bermula dari 1 Oktober 2022 sehingga 31 Disember 2022.

 

Para pelanggan akan turut menerima e-sijil daripada Waqaf Felda. Pada masa sama, Waqaf Felda memberi akses portal pentadbiran kepada MBSB Bank untuk memantau sepanjang tempoh kerjasama bagi memastikan transaksi untuk para pelanggan MBSB Bank dilakukan dengan tepat.

 

Terdahulu, kerjasama tersebut dimeterai melalui sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Menara MBSB Bank, PJ Sentral, Petaling Jaya hari ini. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Waqaf Felda, Razuwan Che Rose berkata, Waqaf Felda merupakan sebuah syarikat berhad dengan jaminan yang menjalankan aktiviti wakaf secara korporat. 

 

 

mbsb
Jesleigh Johari (dua, kiri) dan Razuwan Che Rose (dua, kanan) bergambar ketika majlis menandatangani MoU antara MBSB Bank dan Waqaf Felda di Menara MBSB Bank pada 30 September 2022.

 

 

"Berbeza dengan aktiviti perwakafan biasa, Waqaf Korporat mengutamakan kelestarian kepada dana wakaf yang dikumpul dan terbitan daripada dana tersebut akan disalurkan kepada pelbagai projek kebajikan berkepentingan umum. 

 

"Dengan kata lain, Waqaf Felda menyediakan pelbagai manfaat kebajikan dalam satu bumbung. Inilah yang dikatakan sebagai Kuasa Ekonomi ke-3, ekonomi yang datang daripada masyarakat dan kembali semula kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Operasi MBSB Bank, Jesleigh Johari berkata, mereka amat mengalu-alukan kolaborasi strategik dengan Waqaf Felda. 

 

"Ia memberikan platform kepada para pelanggan MBSB Bank untuk menjadi pewakaf dan turut menyumbang ke arah pembangunan masyarakat dan pemerkasaan ekonomi," katanya. - DagangNews.com