McDonald’s Malaysia Iktiraf Guru Luar Biasa melalui Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 | DagangNews Skip to main content

McDonald’s Malaysia Iktiraf Guru Luar Biasa melalui Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022

Pemenang anugerah tahunan ini diumumkan sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2022

KOTA BHARU 16 Mei – McDonald’s Malaysiai mengumumkan 25 penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 sebagai menghargai para guru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang “luar biasa” atas jasa mereka meningkatkan kecemerlangan akademik dan mewujudkan akses kepada pendidikan untuk anak murid.

 

Memasuki tahun keenam penganjurannya, anugerah ini telah menerima lebih daripada 5,600 pencalonan mulai 10 Mac hingga 2 April 2022.

 

Daripada keseluruhan pencalonan yang diterima, 25 pemenang telah dipilih berdasarkan komitmen “luar biasa” mereka dalam mendidik anak-anak bangsa negara.

 

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran, McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai berkata, McDonald’s memperkenalkan anugerah tahunan ini sebagai salah satu inisiatif dan komitmennya dalam menyumbang kepada masyarakat di sekitar lokasi operasinya dengan mengiktiraf guru ”luar biasa” yang memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan negara melalui pendidikan.

 

Beliau berkata, setiap guru adalah unik dan dapat memberi inspirasi secara tersendiri. Kami telah melihat peningkatan jumlah pencalonan sebanyak lebih 1,200 berbanding tahun lalu.

 

‘’Kisah luar biasa yang diterima adalah tanda  komitmen tidak berbelah bahagi para guru dalam melaksanakan tanggungjawab mereka melebihi tugas-tugas hakiki demi mendidik murid-murid secara menyeluruh,” katanya.

 

Beliau berkata, semua murid mampu berkembang sebagai individu yang seimbang dan memenuhi potensi diri mereka dengan didikan dan asuhan guru.


 

McD
Melati Abdul Hai

 


“Dua tahun kebelakangan ini kita menghadapi situasi sukar, dengan sekatan pandemik yang emberi kesan kepada pengalaman pembelajaran normal murid.

 

“Namun, kisah yang kami peroleh hasil pembacaan berdasarkan pencalonan diterima sejak bermulanya pandemik menunjukkan betapa kukuhnya semangat kemanusiaan dan para guru yang menjadi pemacu utama sistem pendidikan negara.

 

“Semasa memasuki fasa peralihan endemik ini, janganlah kita lupa semangat serba boleh yang terpahat dalam diri kita semua, penyesuaian yang dilakukan dan daya tahan yang ditunjukkan para guru dalam menjalankan tanggungjawab mereka, terutamanya ketika melalui masa-masa yang tidak menentu. Inilah yang perlu dibanggakan,” tambah Melati.

 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin yang merupakan tetamu kehormat majlis, telah menyampaikan anugerah ini kepada 25 penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022. Setiap pemenang menerima wang tunai RM5,000 dan sebuah trofi.

 

Sejak pertama kali dilaksanakan pada tahun 2017, Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s telah disampaikan kepada 131 guru yang menjalankan tanggungjawab melebihi tugas hakiki dalam mendidik, memotivasi dan memberi inspirasi kepada generasi masa hadapan negara.


 

McD
Cikgu Chan Chin Ho dan Cikgu Rohaidee Mustafa merupakan antara 25 pemenang Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 yang dipilih berdasarkan komitmen “luar biasa” mereka dalam mendidik anak-anak bangsa negara.

 


Para penerima anugerah ini telah dipilih oleh panel juri yang terdiri daripada wakil McDonald’s, pegawai KPM dan pihak media.

 

Pencalon untuk pemenang anugerah ini turut menerima baucar hadiah McDonald’s bernilai RM200 sebagai tanda penghargaan.

 

Kisah-kisah guru yang dicalonkan oleh rakyat Malaysia untuk Anugerah Guru Inspirasi McDonald's tahun ini boleh diikuti pada pautan berikut: https://www.anugerahguruinspirasimcd.com/bm/view_nominate.

a

Selain itu, semua 318 restoran McDonald’s di seluruh negara akan menganjurkan parti Hari Guru pada bulan Mei dan Jun ini. Kru restoran McDonald’s bakal meraikan para guru dengan aktiviti permainan, sesi bergambar dan sebagainya. – DagangNews.com