McDonald’s Sebar Semangat Positif Sepanjang Tempoh Pemulihan Negara | DagangNews Skip to main content

McDonald’s Sebar Semangat Positif Sepanjang Tempoh Pemulihan Negara

SUKARELAWAN McDonald’s menyampaikan sumbangan makanan kepada Hospital Sungai Buloh, kemudahan penjagaan kesihatan utama di negara ini bagi merawat pesakit COVID-19.
 


KUALA LUMPUR 2 Okt – Sejak pandemik ini bermula di Malaysia pada tahun lalu, McDonald’s Malaysia telah memperkenalkan pelbagai inisiatif yang berterusan untuk menyokong Kementerian Kesihatan dalam menangani pandemik COVID-19, pada masa sama memacu ke arah pemulihan Malaysia daripada pandemik yang melanda.

 

Ini juga sebahagian daripada usaha syarikat untuk mewujudkan nilai positif dan mengetengahkan komitmen McDonald’s sebagai anggota masyarakat yang prihatin terhadap golongan masyarakat yang memerlukan, seiring dengan misi Program Komuniti @ McDonald’s & RMHC.

 

Antara inisiatif-inisitif terkini yang dilaksanakan oleh syarikat termasuklah 10,000 hidangan percuma melalui pemberian baucar kepada barisan hadapan di hospital yang merawat pesakit COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Unit Penjagaan Kritikal (CCU) sejak pertengahan September 2021.

 

Baucar tersebut membolehkan barisan hadapan menikmati hidangan McDonald’s pada waktu lapang dan sebagai tanda penghargaan atas perkhidmatan mereka merawat pesakit sepanjang tempoh sukar ini.

 

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, pihaknya ingin bersama-sama rakyat Malaysia dalam menghadapi tempoh sukar ini dan terus menghulurkan bantuan kepada golongan masyarakat yang memerlukan.

 

''Ini merupakan komitmen yang cukup dekat di hati kami, bagi menonjolkan semangat bersatu padu sebagai rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi ketika kita semua dalam usaha kearah pemulihan negara dan situasi kembali normal.

 

''Tajaan makanan dan pemberian baucar secara langsung telah berjaya menyuntik  keceriaan dan menyampaikan penghargaan McDonald’s terhadap kerja keras pihak Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan di sini. 

 

Pemberian baucar kepada golongan barisan hadapan membolehkan mereka mendapat set hidangan Nasi Lemak McD dengan 1 ketul Ayam Goreng McD dan Teh Ais Limau sebagai tanda penghargaan, dengan sebarang pembelian di McDonald’s, sehingga 31 Disember 2021.

 

Selain itu, McDonald’s Malaysia juga menawarkan tiga juta kopi Americano kepada mereka yang telah menerima suntikan vaksin. Baucar tersebut telah diagihkan kepada mereka yang telah menerima vaksin di 75 pusat vaksinasi terpilih di seluruh negara sejak pertengahan September 2021.

 

 

McD

 


Baucar tersebut boleh ditebus dengan sebarang pembelian di McDonald’s, sehingga 31 Disember 2021.

 

Inisiatif-inisiatif ini merupakan nilai tambah terhadap komitmen McDonald’s Malaysia menaja makanan secara mingguan di hospital-hospital dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sejak bermulanya pandemik ini pada tahun lalu, dengan lebih satu juta hidangan telah diberikan kepada golongan barisan hadapan setakat ini.

 

McDonald’s Malaysia juga telah menyumbang sejumlah RM250,000 untuk Peralatan Perlindungan Diri (PPE) kepada Kementerian Kesihatan pada tahun 2020.

 

“Kami berasa sangat berbangga dan berterima kasih kepada petugas perubatan yang sanggup mempertaruhkan nyawa setiap hari, yang merawat pesakit dan terus memastikan keselamatan rakyat Malaysia. Sebagai balasan, kami mahu menunjukkan penghargaan atas penat lelah mereka,” tambah beliau.

 

McDonald’s Malaysia akan terus menyokong dan membantu Kementerian Kesihatan melalui inisiatif yang relevan, yang merupakan sebahagian daripada matlamat Program Komuniti @ McDonald’s & RMHC.

 

Kesejahteraan masyarakat merupakan keutamaan syarikat dan McDonald’s akan terus memainkan peranan untuk memastikan kebajikan rakyat Malaysia dan golongan barisan hadapan terus terpelihara sepanjang tempoh sukar ini. - DagangNews.com