KUALA LUMPUR 27 Ogos - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama pihak Twitter Inc. telah menghasilkan emoji khas di Twitter yang boleh digunakan dalam menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
MCMC dalam kenyataan hari ini menyatakan langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif Malaysia Prihatin bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.
“Emoji khas yang dibangunkan secara percuma itu boleh digunakan sebagai satu daripada cara untuk menzahirkan perasaan dan semangat cinta kepada negara.
“Emoji tersebut sesuai digunakan dengan tanda pagar (hashtag) yang dipersetujui iaitu #MalaysiaPrihatin, #MalaysiaMerdeka, #MenangBersama dan #HariMalaysia,” kata kenyataan itu.
Jangka masa penggunaan emoji tersebut bermula 31 Ogos hingga 16 Sept depan.
Sehubungan itu, MCMC turut menggalakkan para pengguna Twitter untuk tampil menggunakan emoji yang dibangunkan bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini. - DagangNews.com