MCMC ingatkan pengguna media sosial elak sentimen kebencian babitkan kaum, agama | DagangNews Skip to main content

MCMC ingatkan pengguna media sosial elak sentimen kebencian babitkan kaum, agama

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Nov - Pengerusi Interim Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din ingin mengingatkan orang ramai untuk berhemah serta menjauhkan diri daripada memberikan pandangan yang berbaur kebencian membabitkan kaum dan agama. 

 

Beliau berkata, semua pihak harus menghormati keputusan pilihan raya dan pemilihan Perdana Menteri yang akan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dengan hati terbuka.

 

"Sehubungan itu, MCMC akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur 3R, iaitu Raja (Royalty), Agama (Religion) dan Kaum (Race). 

 

"Sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Mohamad, tindakan penguatkuasaan bersama PDRM akan diambil terhadap mereka yang terlibat berdasarkan aduan daripada orang awam mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat.

 

Laporkan insiden atau kandungan yang bersifat hasutan, provokasi ataupun yang menghina kepada MCMC melalui portal Aduan MCMC di pautan https://aduan.skmm.gov.my/. 

 

Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/. - DagangNews.com