MCMC kenal pasti 3 taktik penipuan WhatsApp | DagangNews Skip to main content

MCMC kenal pasti 3 taktik penipuan WhatsApp

 

 

 

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihati orang ramai agar berwaspada dengan taktik penipuan yang bertujuan mengambil alih akaun WhatsApp pengguna.

 

Taktik ini menggunakan pelbagai helah bagi memperdaya pengguna supaya menyerahkan kod pengesahan 6-digit yang diterima daripada pihak WhatsApp, jelas MCMC.

 

Kod pengesahan tersebut amnya diterima oleh pengguna untuk tujuan pengesahan apabila berlaku cubaan pertukaran nombor telefon yang dikaitkan dengan sesuatu akaun WhatsApp. 

 

"Pengguna yang terpedaya menyerahkan kod pengesahan tersebut boleh menyebabkan akaun WhatsApp mereka diambil alih oleh scammer," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sehubungan itu, MCMC mengesan beberapa helah dan modus operandi yang digunakan scammer : 

 

  • Scammer menyamar sebagai rakan atau ahli keluarga dengan menggunakan akaun WhatsApp (milik rakan atau ahli keluarga) yang telah berjaya diambil alih sebelum ini dan seterusnya merayu bantuan pengguna untuk menyerahkan kod pengesahan 6-digit yang diterima

 

  • Scammer menyamar sebagai kakitangan WhatsApp dan meminta pengguna menyerahkan kod pengesahan 6-digit yang diterima

 

  • Scammer sengaja membuat beberapa cubaan pengesahan yang gagal. Lantaran itu, sistem WhatsApp akan seterusnya membuat panggilan automatik ke nombor pengguna untuk memaklumkan kod pengesahan. Mereka kemudiannya melakukan penyamaran dan berhubung dengan pengguna untuk mendapatkan kod berkenaan ataubvsekiranya pengguna tidak menjawab panggilan automatik daripada WhatsApp dan ia masuk ke peti mesej suara pengguna, scammer akan cuba meneka (melalui proses cubaan rambang) atau meminta kata laluan atau PIN peti mesej suara pengguna, untuk mengakses rakaman tersebut

 

Sehubungan itu, para pengguna adalah diingatkan:

 

  • Berwaspada terhadap permintaan kod pengesahan 6-digit WhatsApp daripada mana-mana pihak sama ada meesej orang yang dikenali (seperti rakan atau ahli keluarga), orang tidak dikenali atau pihak yang mengaku sebagai kakitangan WhatsApp serta lain-lain pihak termasuklah pihak berkuasa

 

  • Tidak sama sekali menyerahkan kod pengesahan 6-digit WhatsApp kepada mana-mana pihak

 

  • Melindungi akaun WhatsApp dengan pengesahan dua langkah. Ikuti aturan tetapan WhatsApp Settings>Account >Two-step verification >Enable dan turuti arahan yang disediakan

 

  • Tidak sama sekali menyerahkan kata laluan atau PIN bagi peti mesej suara kepada mana-mana pihak

 

  • Memastikan kata laluan atau PIN peti suara adalah rumit dan sukar untuk diteka

 

 

Menurut MCMC, pengguna yang telah menjadi mangsa pengambilalihan akaun WhatsApp adalah disaran untuk mengikut langkah-langkah seperti di pautan berikut untuk mengambil alih semula akaun WhatsApp yang dirampas.

 

Bagi melindungi diri daripada sebarang kemungkinan perbuatan jenayah, pengguna yang menjadi mangsa boleh membuat aduan dan laporan berhubung pencerobohan atau pengambilalihan akaun WhatsApp kepada balai polis berhampiran atau kepada MCMC menerusi portal aduan MCMC: https://aduan.skmm.gov.my
e-mel: [email protected] atau WhatsApp: 016–220 6262. - DagangNews.com