MCMC raih anugerah bagi kategori Bangunan Cekap Tenaga di NEA 2021 | DagangNews Skip to main content

MCMC raih anugerah bagi kategori Bangunan Cekap Tenaga di NEA 2021

KUALA LUMPUR 26 Mac - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya meraih Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2021 bagi kategori Bangunan Cekap Tenaga iaitu Bangunan Hijau Besar Terbaik pada Majlis Anugerah NEA, semalam.

 

MCMC dalam satu kenyataan berkata, kejayaan itu adalah bukti komitmen mereka terhadap prinsip di bawah konsep pengurusan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang memberi penekanan terhadap keseimbangan dalam semua aspek.

 

Anugerah berkenaan diberikan kepada MCMC HQ Tower 1 yang terletak di Cyberjaya berdasarkan kepada reka bentuk bangunan hijau berkenaan, operasi serta penyelenggaraannya.

 

"Kejayaan tersebut merupakan perkembangan yang signifikan dalam membantu pengurangan pelepasan karbon selaras dengan usaha kerajaan dalam memperkasakan pembangunan lestari di Malaysia.

 

"Antara usaha-usaha yang diambil untuk mencapai status bangunan hijau termasuklah tumpuan kepada penjimatan tenaga, kecekapan air, serta kualiti persekitaran di dalam bangunan dan kelestarian alam sekitar. 

 

"Kuasa solar, taman hijau di bumbung bangunan, penuaian hujan dan angin serta kolam ikan Koi adalah antara ciri-ciri yang ada pada bangunan tersebut," katanya.

 

mcmc

 

Usaha pembangunan kelestarian alam sekitar oleh MCMC ini juga sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang memberi tumpuan kepada pendekatan ekonomi hijau dan hasrat kerajaan mencapai aspirasi menjadi sebuah negara neutral karbon seawal 2050.

 

mcmc

 

MCMC akan terus memberi komitmen untuk menerajui pembangunan kelestarian alam sekitar dan pembangunan hijau demi kepentingan generasi akan datang. - DagangNews.com