MCMC seru pelajar, remaja, golongan tidak berkemampuan langgan 2 pakej peranti tawaran kerajaan | DagangNews Skip to main content

MCMC seru pelajar, remaja, golongan tidak berkemampuan langgan 2 pakej peranti tawaran kerajaan

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

KUALA LUMPUR 18 Nov - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyeru pelajar, remaja dan golongan tidak berkemampuan untuk mengambil peluang melanggan Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia yang diperkenalkan kerajaan baru-baru ini.

 

MCMC dalam satu kenyataan memberitahu, Pakej Remaja Keluarga Malaysia merupakan pakej prabayar khusus untuk remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah dengan bayaran RM10 sebulan (dibayar untuk tiga bulan atau RM30), mereka akan meraih data sebanyak 20GB selama tempoh tiga bulan selain 1GB (jumlah keseluruhan 90 GB)  percuma untuk aktiviti produktiviti setiap hari.

 

"Menerusi pakej ini, mereka boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti menghantar mesej dan melayari internet manakala bagi data produktiviti, mereka boleh menjalani pembelajaran dalam talian serta bekerja dari rumah tanpa menghadapi maslaah kekangan data.

 

"Bagi data 20GB, ia boleh diguna untuk muat turun video atau bermain permaian video dalam talian," katanya.

 

Sementara itu MCMC memberitahu, Pakej Peranti Keluarga Malaysia membolehkan masyarakat memiliki atau menaik taraf peranti mudah alih serta suara ke atas evolusi jangka panjang (VoLTE) secara percuma 

 

"Teknologi VoLTE ini membolehkan pengguna menikmati panggilan yang berkualiti tinggi di rangkaian 4G. 

 

"Peranti berkenaan dapat dimiliki dengan langganan serendah RM40 sebulan melalui kontrak selama 12 hingga 24 bulan tertakluk kepada jenis peranti yang dilanggan dan ia merangkumi pakej 1GB data percuma untuk produktiviti.

 

Pakej berkenaan dilancarkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa pada 14 Oktober lalu, ia merupakan inisiatif kerajaan dengan kerjasama enam syarikat penyedia perkhidmatan iaitu Celcom, Digi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia (TM) dan YES hingga 15 April 2022. 

 

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat mengenai pakej berkenaan boleh hubungi atau berkunjung ke kaunter telekomunikasi berhampiran.-Dagangnews.com