MDEC lancar DC3 2022 bantu pencipta hasilkan kandungan digital berkualiti tinggi | DagangNews Skip to main content

MDEC lancar DC3 2022 bantu pencipta hasilkan kandungan digital berkualiti tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Mei - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang merupakan agensi peneraju ekonomi digital Malaysia melancarkan Digital Content Creators Challenge (DC3) untuk tahun 2022.

 

DC3 merupakan program berasaskan pertandingan yang diusahakan untuk membantu pencipta kandungan bagi membangun dan menghasilkan kandungan digital berkualiti tinggi serta meningkatkan penciptaan harta intelek (IP) selaras dengan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang ditetapkan untuk menghasilkan 200 IP menjelang 2025.

 

Pemenang DC3 2022 akan menerima hadiah wang tunai untuk membangunkan kandungan digital yang dicadangkan oleh mereka dengan sokongan daripada pakar industri menerusi program mentor, yang menyediakan pemangkin diperlukan oleh bakat tempatan untuk menerokai pasaran tempatan dan global. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, pemenang terdahulu telah memenangi anugerah di pentas global dan MDEC menyediakan platform yang diperlukan kepada pembangun kandungan untuk membangun, mempamer dan memasarkan kandungan digital mereka di peringkat serantau dan global.

 

“Justeru, MDEC optimis peserta pada tahun ini juga akan membawa idea baharu yang hebat sekali gus meletakkan Malaysia di peta dunia bagi industri kandungan kreatif,” katanya lagi.

 

Program DC3 ini terbuka kepada syarikat pembangun kandungan digital dan terbahagi kepada tiga skop projek iaitu komik digital, animasi dan permainan digital. 

 

mdec
Mahadhir Aziz

 

Di bawah kategori komik, pemenang akan menerima wang tunai sehingga RM25,000 dan mempunyai tempoh selama enam bulan untuk menyiapkan projek berkenaan.

 

Manakala, pemenang kategori animasi akan menerima wang tunai sehingga RM100,000.00 dan mempunyai tempoh selama lapan bulan untuk menyiapkan projek berkenaan, sementara pengeluar permainan digital pula, bakal menerima hadiah sehingga RM100,000 dan mempunyai tempoh selama sepuluh bulan untuk menyiapkan projek mereka.

 

DC3 yang telah diperkenalkan sejak 2006, merupakan platform oleh MDEC, agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) yang menyediakan pembiayaan awal bagi pembangunan kandungan kreatif untuk mencipta portfolio atau IP.

 

Sepanjang penganjuran pertandingan tersebut, MDEC telah membiayai sebanyak 360 projek dan menyerahkan hadiah wang tunai bernilai RM15.3 juta kepada pemenang. - DagangNews.com