MDEC, Lembaga Zakat Selangor manfaat teknologi tingkatkan kecekapan agih zakat | DagangNews Skip to main content

MDEC, Lembaga Zakat Selangor manfaat teknologi tingkatkan kecekapan agih zakat

Pengarah Kewangan Digital dan Ekonomi Digital Islam MDEC, Ruslena Ramli (kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan LZS, Rapizah Muhammad Sharif (kanan) bersama Naib Presiden Kanan Bahagian Pembangunan Industri Digital MDEC, Datuk Fadzli Abdul Wahit (tengah) di majlis pertukaran MoU pada 6 November 2023.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Dis - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meningkatkan kecekapan pengagihan zakat.

 

Pada masa ini, terdapat banyak kutipan zakat dan gerbang pembayaran yang tersedia namun MDEC berkata pengagihan zakat menggunakan teknologi boleh dipertingkatkan lagi untuk menggalakkan ketelusan, tadbir urus dan pengesanan yang lebih baik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata inisiatif tersebut penting dalam komitmen agensi itu untuk memacu inovasi digital dan membentuk semula landskap zakat Malaysia.

 

Beliau berkata, dengan menyepadukan rumusan digital yang inovatif ke dalam ekosistem LZS, MDEC berhasrat meningkatkan kecekapan pengagihan zakat, menggabungkan analisis tingkah laku psikometrik ke dalam program asnaf dan meneroka peluang yang belum diterokai dalam teknologi seperti papan pemuka, rantaian blok, dan kecerdasan buatan.

 

“Dengan memanfaatkan teknologi kewangan yang inovatif, kami membuka jalan untuk merevolusikan industri zakat Malaysia.

 

“Bersama-sama, kami membayangkan merevolusikan industri zakat Malaysia, bukan sahaja untuk Selangor tetapi turut mendorong negeri lain untuk mengikutinya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Menurut kenyataan tersebut, integrasi digital membolehkan zakat digunakan dengan lebih berkesan dan  mencapai tahap skala ekonomi yang meringankan beban defisit fiskal kerajaan dan berpotensi bertindak sebagai instrumen untuk mengurangkan perbelanjaan negara dan meminimumkan jurang pembiayaan secara beransur-ansur.

 

Menjelang akhir tahun 2022, industri zakat Malaysia bernilai RM4.1 bilion mempunyai potensi besar untuk syarikat Malaysia Digital di bawah MDEC dan sokongan advokasi untuk menukar Asnaf daripada penerima kepada pemberi zakat adalah penting untuk mengurangkan garis dasar kemiskinan disasarkan oleh Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Sarbini berkata insitusi zakat itu bermatlamat menggunakan teknologi untuk akses lebih mudah, bantuan dan perkhidmatan lebih pantas , serta tadbir urus yang lebih baik dan telus.

 

“LZS juga ingin menyebarkan maklumat dengan lebih berkesan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan Asnaf dan bakal penyumbang. Kami teruja dengan kerjasama ini dan hasil positif yang kami harapkan daripadanya,” tambahnya.

 

MDEC dan LZS berharap untuk bersama-sama mencipta masa depan di mana teknologi meningkatkan impak zakat, membuat perubahan bermakna dalam kehidupan asnaf dan menyumbang kepada matlamat pembangunan sosioekonomi yang lebih luas.  - DagangNews.com