MDEC perkenal inisiatif IdeaKita bagi bangunkan 200 syarikat teknologi baharu menjelang akhir 2022 | DagangNews Skip to main content

MDEC perkenal inisiatif IdeaKita bagi bangunkan 200 syarikat teknologi baharu menjelang akhir 2022

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital Malaysia di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) memperkenalkan inisiatif IdeaKita bagi membangunkan 200 syarikat teknologi baharu menjelang akhir tahun ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Malaysia Digital  yang direka khusus bukan sahaja bagi membantu usahawan baharu menubuhkan syarikat teknologi tetapi juga pemangkin serta transformasi keupayaan serta kapasiti ekosistem yang akan mempercepatkan lagi pertumbuhan ekonomi digital Malaysia. 

 

“Lazimnya, apabila usahawan ingin memulakan perjalanan inovasi mereka, pakar industri hanya akan terlibat semasa proses akhir inovasi berkenaan dan ini menyebabkan berlakunya ketidakpadanan antara masalah yang ingin diselesaikan dengan inovasi yang telah direka bentuk. 

 

“Justeru, menerusi program seperti MDEC Innovation Exchange (MIX), Funding Facilitation dan GAIN, telah menubuhkan rangkaian hubungan yang kukuh dalam kalangan pakar industri dalam membimbing bakal-bakal usahawan daripada aspek penjanaan idea dan pengesahan penyelesaian teknologi bagi memastikan ia relevan dengan permintaan pasaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Inisiatif IdeaKita menyediakan sokongan kepada peserta melalui tiga perkara iaitu bimbingan industri, kesedaran Harta Intelek (IP) dan pembangunan produk berdaya maju minimum (MVP), selain menyediakan bengkel bersiri dan sesi latihan untuk membantu proses penjanaan idea.

 

IdeaKita telah memulakan kempen jelajah pendaftaran pada 29 Julai 2022 di Universiti Taylor’s dan akan diteruskan ke seluruh negara bagi menarik dan merekrut lebih ramai bakal usahawan dengan mempamerkan latihan yang relevan serta bantuan yang boleh ditawarkan.

 

Selain itu, MDEC juga akan menganjurkan beberapa kempen jelajah termasuk di Pulau Pinang (5 Ogos 2022), Johor Bahru (14 Ogos 2022), Kota Kinabalu (19 Ogos 2022) dan Kuching (3 September 2022).

 

mdec
Mahadhir Aziz

 

Kempen itu akan diikuti dengan kem intensif selama sebulan pada Oktober 2022 bagi memberi peluang para peserta membentangkan idea mereka dan MDEC akan menyediakan aplikasi, bengkel serta sesi bimbingan yang sesuai untuk membantu peserta membangunkan MVP yang disahkan oleh industri.

 

IdeaKita akan tamat pada bulan November dengan penganjuran majlis graduasi dan mereka akan diserapkan ke dalam inisiatif MDEC yang lain, antaranya seperti Malaysia Digital Hub (MDH), MDEC Innovation Exchange (MIX) dan Founders Grindstone.

 

Selaras dengan sektor tumpuan di bawah Malaysia Digital, inisiatif ini terbuka kepada pengasas yang merancang untuk membangunkan penyelesaian teknologi untuk industri seperti Perdagangan Digital, Pertanian Digital, Perkhidmatan Digital, Bandar Digital, Kesihatan Digital, Kewangan Digital, Kandungan Digital, Pelancongan Digital dan Ekonomi Digital Islam.

 

MDEC akan bekerjasama dengan agensi kerajaan di peringkat negeri seperti Digital Penang, EduCity Iskandar Johor, Pusat Kreatif Ekonomi dan Inovasi Sabah (SCENIC), Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dan and Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) untuk menjayakan inisiatif ini. 
 

IdeaKita telah diselaraskan untuk meningkatkan jumlah syarikat pemula kepada 5,000 menjelang 2025 dan telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada sembilan sektor tumpuan di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

 

Maklumat lanjut mengenai program IdeaKita boleh dilayari melalui pautan https://mdec.my/IdeaKita. - DagangNews.com