MDEC, Tik Tok bekerjasama lancar kempen #YoungCreators | DagangNews Skip to main content

MDEC, Tik Tok bekerjasama lancar kempen #YoungCreators

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Aplikasi video, Tik Tok dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), melancarkan kempen #YoungCreators untuk memupuk kreativiti dalam kalangan golongan muda Malaysia.

Kempen yang merupakan salah satu inisiatif di bawah #SayaDigital itu menawarkan peluang kepada golongan muda dan pencipta kandungan untuk mempelajari cara memanfaatkan platform digital sekaligus menjana pendapatan menerusinya.

 

Cheah
Cheah Sheau Mei

 

Pengurus Pengguna dan Operasi Kandungan Tik Tok Malaysia, Cheah Sheau Mei percaya pembelajaran tidak berakhir di sekolah malah ia merupakan usaha sepanjang hayat.

“Tik Tok berbesar hati menjadi sebahagian daripada inisiatif #YoungCreators bersama-sama MDEC. Kami teruja untuk melihat tahap kreativiti rakyat Malaysia dalam menyampaikan kandungan yang bermaklumat, bernas dan menyeronokkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi menyertai kempen berkenaan, semua pengguna Tik Tok Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas digalakkan untuk memuat naik video bermaklumat dan berpendidikan di platform itu menggunakan ‘hashtag’ #YoungCreators dan #TikTokGuru bermula 22 hingga 31 Ogos.

Setiap video yang dimuatnaik perlu berdurasi sekurang-kurangnya 10 saat dan bertemakan pengetahuan am, teknologi, kesihatan dan kecergasan, kecantikan, budaya dan tips kehidupan.

Mereka yang terlibat berpeluang untuk memenangi hadiah bernilai sehingga RM60,000 dan menyertai program inkubasi pencipta oleh CastingAsia Creators Network selama 12 bulan.

Program tersebut bertujuan memperluas dan memupuk minda golongan muda dengan pengetahuan digital dan media sosial yang terkini.

Bakal pemenang akan menerima notifikasi daripada aplikasi Tik Tok pada 4 September dan langkah-langkah untuk menebus hadiah serta sijil yang disediakan.

 

Raymond Siva
Raymond Siva

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Pemasaran MDEC, Raymond Siva berkata, kempen berkenaan akan memupuk kreativiti dalam kalangan golongan muda di negara ini dengan cara mengekspresikan diri mereka di Tik Tok.

“Menerusi kerjasama dengan Tik Tok dan rakan kongsi lain, kami mahu membantu bakat muda menyedari potensi mereka sebagai penghasil kandungan. Ini termasuk ekspresi idea dalam kaedah yang menyeronokkan dan menarik,” jelas beliau.

Setakat ini, kempen itu telah menerima penyertaan daripada pelbagai lapisan pengguna termasuk guru, kumpulan tarian, pemuzik dan doktor gigi. – DagangNews.com