MDIC tumpu tiga program utama tingkat keupayaan teknologi peranti perubatan | DagangNews Skip to main content

MDIC tumpu tiga program utama tingkat keupayaan teknologi peranti perubatan

Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad.

 

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Nov - Pusat Inovasi Peranti Perubatan (MDIC) yang dilancarkan SIRIM Berhad bakal memberi tumpuan kepada tiga program utama bagi meningkatkan keupayaan teknologi bagi sektor peranti perubatan Malaysia.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, MDIC akan memberi tumpuan kepada aktiviti seperti penyelidikan dan pembangunan produk peranti perubatan; pengukuran dan penentukuran untuk industri peranti perubatan; penilaian pematuhan iaitu pengujian, pemeriksaan dan pensijilan serta bantuan latihan teknikal bagi membangunkan standard industri peranti perubatan.  

 

Katanya, MDIC juga akan melaksanakan inkubator inovasi pembuatan, makmal terbuka dan “teaching factory” yang membolehkan kerjasama awam dan swasta direalisasikan.

 

“Tiga program utama dilaksanakan MDIC melibatkan penggunaan inovasi teknologi termaju bagi PKS tempatan; teknologi Industri 4.0 yang diterima pakai syarikat tempatan besar dan projek vendor utama yang akan disertai oleh pihak syarikat multinasional dan PKS tempatan,” katanya.

 

Ahmad Sabirin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika menggulung Rang Undang-undang Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat mengenai insentif khusus kepada industri peranti perubatan. 

 

Menurut Mohamed Azmin, sejumlah 33 projek dengan pelaburan bernilai RM7.4 bilion telah diluluskan dalam industri peranti perubatan bagi tempoh Januari hingga September 2021. 

 

Pelaburan domestik merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak RM4.5 bilion (60.8%), manakala pelaburan asing berjumlah RM2.9 bilion (39.2%). 

 

Projek-projek itu dijangka menjana 11,740 peluang pekerjaan baharu dan daripada projek yang diluluskan, 10 projek (30.3%) dengan pelaburan RM2.1 bilion adalah untuk pembuatan peranti perubatan yang bernilai tambah tinggi.

 

Ahmad Sabirin berkata, MDIC ditubuhkan ekoran maklum balas yang diperoleh SIRIM daripada industri peranti perubatan dan agensi kerajaan berkaitan yang antaranya mengemukakan isu dan cabaran yang dihadapi industri itu seperti inovasi teknologi, akses pasaran, pembangunan sumber manusia dan polisi untuk membantu industri.

 

“Cabaran utama yang dikemukakan oleh semua peringkat industri adalah sumber terhad dalam menjalankan R&D (kajian dan penyelidikan) produk berikutan kekurangan sumber kewangan, kemudahan infrastruktur dan pekerja berkemahiran tinggi. 

 

"Sementara itu, syarikat-syarikat multinasional pula menghadapi kesukaran mendapatkan sumber manusia dengan kepakaran tertentu yang boleh menjayakan hala tuju teknologi mereka,” katanya.

 

Beliau juga berkata, dalam membangunkan ekosistem peranti perubatan negara, SIRIM memastikan tumpuan diberi kepada agenda kelestarian selaras dengan kerangka Environment, Social & Governance serta United Nations Sustainable Development Goals (SDG).-Dagangnews.com