MEASAT kini penjual sah perkhidmatan jalur lebar satelit Starlink di Malaysia | DagangNews Skip to main content

MEASAT kini penjual sah perkhidmatan jalur lebar satelit Starlink di Malaysia

Jalur lebar satelit Starlink
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Jan - MEASAT Global Bhd memeterai perjanjian dengan Space Exploration Technologies Corp. (SpaceX) untuk menjual perkakasan dan perkhidmatan Starlink bulan lepas.

 

Penyedia rumusan satelit utama Malaysia itu berkata, ia membolehkan MEASAT mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia sehenti untuk pelanggan dalam mengejar perkhidmatan dan rumusan satelit paling sesuai bagi memenuhi keperluan mereka.

 

Katanya, Starlink akan mendapat manfaat daripada kehadiran pasaran MEASAT yang mantap dan perkhidmatan pelanggan dan sokongan teknikal yang kukuh di lapangan, termasuk meja bantuan 24/7 yang dikendalikan kakitangan serta sokongan dan penyelenggaraan di tapak. 

 

"Pelanggan MEASAT telah lama mendapat manfaat daripada pakej inklusif hujung ke hujung untuk perkhidmatan logistik dan pemasangan terakhir, serta pembaikan dan penyelenggaraan, yang kini akan diperluaskan kepada produk Starlink yang ditawarkan oleh MEASAT," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial MEASAT, Ganendra Selvaraj berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan Starlink sebagai penjual sah perkhidmatan dan perkakasan tersebut.

 

"Katanya, pihaknya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan entiti lain untuk menyampaikan manfaat teknologi satelit kepada pelanggan, termasuk agensi kerajaan, perusahaan komersial dan penduduk luar bandar melalui portfolio rumusan yang pelbagai untuk memenuhi keperluan yang semakin berkembang. 

 

"Sebagai contoh, dengan memasukkan keupayaan Starlink ke dalam perkhidmatan jalur lebar satelit CONNECTme NOW MEASAT, kami dapat meningkatkan lagi perkhidmatan internet berkelajuan tinggi untuk 3% terakhir rakyat Malaysia yang tidak mempunyai sambungan darat. 

 

"Selain itu, kapasiti kami untuk menawarkan perkhidmatan yang sesuai untuk tujuan, ketersediaan tinggi untuk pangkalan pelanggan MEASAT dalam sektor minyak dan gas, maritim serta perusahaan akan diperluaskan," katanya.

 

Katanya, status pihaknya sebagai penjual semula sah untuk Starlink menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan pertumbuhan yang berterusan.

 

"Ia sebagai produk satelit orbit bukan geostasioner (NGSO) pertama yang ditawarkan melalui rangkaian di darat, sambil kami terus meneroka rumusan NGSO berpotensi lain, untuk rangkaian perkhidmatan kami," katanya. - DagangNews.com