MEASAT sasar  CONNECTme NOW capai 300,000 akhir tahun ini, rancang berkembang di Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

MEASAT sasar  CONNECTme NOW capai 300,000 akhir tahun ini, rancang berkembang di Asia Tenggara

MEASAT memberi tumpuan kepada usaha menghubungkan komuniti yang tidak mempunyai aksesi internet di Malaysia

 

 


KUALA LUMPUR 9 Sept. - MEASAT menyasarkan untuk meningkatkan jumlah sambungan jalur lebar menerusi CONNECTme NOW kepada 300,000 pengguna menjelang hujung tahun ini.

 

Setakat ini, MEASAT telah memasang lebih daripada 2,000 tapak CONNECTme NOW termasuk 1,183 di Sarawak dan 243 di Sabah, menyediakan lebih daripada 200,000 sambungan jalur lebar di seluruh negara.

 

CONNECTme NOW adalah perkhidmatan jalur lebar satelit berkelajuan tinggi yang menyediakan akses internet kepada masyarakat luar bandar dan kawasan pedalaman, di lokasi-lokasi yang tidak mendapat liputan 4G atau jaringan gentian optik

 

Ketua Pegawai Operasi MEASAT, Yau Chyong Lim berkata, CONNECTme NOW bukan sahaja mementingkan teknologi, tetapi ia juga mengutamakan pemahaman terhadap keperluan masyarakat yang menggunakan perkhidmatan tersebut. 

 

Katanya, ia menekankan faktor insan dalam pembangunan teknologi, yang dianggap sebagai salah satu faktor penting dalam mencapai matlamat inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela). 

 

"Salah satu daripada nilai yang menjadi kebanggaan pasukan kami di MEASAT ialah pemahaman kami yang mendalam mengenai budaya, infrastruktur dan keperluan masyarakat luar bandar di Malaysia

 

"Oleh itu, pasukan kami yang berdedikasi sentiasa bekerja keras, memberikan perkhidmatan sokongan di lapangan untuk memastikan dapat memasuki ke lokasi yang sukar dicapai untuk menyediakan ketersambungan internet," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sebagai pengendali satelit utama Malaysia, MEASAT memberi tumpuan kepada usaha menghubungkan komuniti yang tidak mempunyai aksesi internet di Malaysia.

 

Ini dilaksanakan dengan menggunakan kedudukannya sebagai pemain utama infrastruktur ICT negara, melibatkan pelaburan lebih RM7.6 bilion dalam infrastruktur komunikasi satelit sejak 25 tahun lalu, menjadikannya salah satu daripada pengendali satelit terkemuka di Asia Pasifik.

 

Sementara itu, Naib Presiden Bersekutu MEASAT, Ganendra Selvaraj berkata, CONNECTme NOW menyasarkan untuk menambah baik tahap sosioekonomi masyarakat dengan menyediakan jaringan internet yang dapat membantu mereka kekal berhubung dan membolehkan mereka mengambil bahagian dalam ekonomi digital menerusi penyelesaian prabayar mampu milik. 

 

Katanya, dengan menggunakan teknologi Terminal Bukaan Amat Kecil (VSAT) dan Satelit Berdaya Pemprosesan Tinggi (HTS), MEASAT membolehkan pengguna CONNECTme NOW mengakses internet menerusi baucar Kod Akses Prabayar (PAC), tanpa kontrak atau caj tetap bulanan, meletakkan kuasa dan kawalan di tangan para pengguna.

 

“Kami bangga kerana CONNECTme NOW telah banyak membantu menghubungkan komuniti terpinggir, menerusi pemasangan di pelbagai Kampung Orang Asli, terutama di Banjaran Titiwangsa di Semenanjung Malaysia dan juga tapak di Malaysia Timur yang terletak jauh dari jaringan infrastruktur atas tanah," katanya.

 

Baru-baru ini, MEASAT bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah bagi memperluaskan lagi pemasangan perkhidmatan CONNECTme NOW di 50 kawasan pendalaman di seluruh Sabah.

 

MEASAT turut menaja data jalur lebar menerusi perkhidmatan CONNECTme NOW di pusat-pusat pemberian vaksin di sekitar Kota Kinabalu yang memberikan perkhidmatan kepada komuniti pedalaman, yang meliputi hampir 2,000 penduduk.

 

Susulan kejayaan CONNECTme NOW di Malaysia, MEASAT menyasarkan untuk membawa perkhidmatan dan teknologi ini ke negara-negara jiran di Asia Tenggara, memperluaskan lagi perkhidmatan bagi menghubungkan para penduduk yang tidak mempunyai akses internet di negara-negara berkenaan.

 

Dalam tempoh terdekat, MEASAT akan mengumumkan pelancaran satelit MEASAT-3d pada awal 2022, yang mana ia akan memenuhi keperluan ketersambungan internet untuk 100% komuniti terpinggir apabila MEASAT-3d mula beroperasi. 

 

Selaras dengan komitmen menghubungkan semua rakyat, MEASAT akan terus melabur dalam infrastruktur dan teknologi satelit bagi memperluaskan lagi sumbangannya ke arah merapatkan jurang digital dan membina masa depan yang lebih tersambung untuk Malaysia. -DagangNews.com