MEASAT umum 2 pelantikan baharu | DagangNews Skip to main content

MEASAT umum 2 pelantikan baharu

Ganendra Selvaraj (kiri) dan Jeevan Rao

KUALA LUMPUR 14 Julai - MEASAT Satellite Systems Sdn. Bhd. melantik Ganendra Selvaraj sebagai Ketua Pegawai Komersial manakala Jeevan Rao pula sebagai Naib Presiden Bersekutu (Kejuruteraan Rangkaian dan Operasi). 

 

Menurut MEASAT, Ganendra yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Aeroangkasa dari Universiti Kansas menyertai syarikat itu pada 2004. 

 

Dengan hampir 20 tahun pengalaman dalam industri telekomunikasi, Ganendra telah melaksanakan spektrum teknikal dan komersial dalam MEASAT secara meluas sebelum pelantikan tersebut. 

 

"Dalam peranan baharunya, Ganendra akan menyelia fungsi Jualan, Kejuruteraan Pelanggan, Pembangunan Perniagaan dan Komunikasi Korporat MEASAT.

 

"Sebagai ahli Jawatankuasa Eksekutif MEASAT, beliau akan memberi tumpuan kepada membina pangkalan pelanggan dan mengembangkan aktiviti komersialnya bagi menyokong strategi jangka panjang kumpulan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Jeevan yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dalam Kejuruteraan Elektrikal (Mekatronik) dan Ijazah Sarjana Sains Komunikasi dan Kejuruteraan Rangkaian dari Universiti Putra Malaysia menyertai MEASAT sejak 2008.

 

Beliau memiliki pengalaman hampir 25 tahun dalam industri komunikasi satelit, penyiaran dan telekomunikasi, serta pengalaman dalam kedua-dua segmen angkasa dan darat, penyiaran video dan DTH, VSAT dan rangkaian backhaul selular.

 

"Dengan tanggungjawab baharunya ini, beliau akan memantau Perkhidmatan Penghantaran MEASAT, Pusat Pengurusan Rangkaian, Sokongan Tapak Jauh, Pembangunan Sistem dan Teknologi Maklumat," katanya. - DagangNews.com