MEDAC-PERNAS bantu asnaf usahawan menerusi Zakat Wakalah | DagangNews Skip to main content

MEDAC-PERNAS bantu asnaf usahawan menerusi Zakat Wakalah

Tan Sri Noh Omar (dua dari kanan) menyampaikan agihan zakat kepada 314 asnaf usahawan di Kuala Lumpur, 27 Januari 2022.

KUALA LUMPUR 27 Jan – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah menubuhkan Jawatankuasa Dana Khas Zakat bertujuan membantu golongan usahawan yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

 

Jawatankuasa Dana Khas Zakat MEDAC telah meluluskan agihan zakat kepada 314 asnaf usahawan yang telah dikenal pasti dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

 

Agihan zakat ini akan disalurkan oleh agensi-agensi di bawah MEDAC termasuk Pernas.

 

Pernas telah memperuntukkan Zakat Wakalah sebanyak RM50,000.00 untuk disumbangkan kepada golongan asnaf usahawan pada Majlis Penyerahan Zakat Pernas yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar, di Menara Berkembar Bank Rakyat hari ini.

 

Turut hadir program hari ini ialah Ketua Setiausaha MEDAC, Dato’ Suriani Dato’ Ahmad.

 

Seramai 25 orang asnaf usahawan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya  menerima sumbangan sebanyak RM2,000.00 seorang.

 

Mengulas mengenai penyerahan zakat tersebut, Noh menyatakan penyerahan sumbangan zakat ini diharap dapat membantu meringankan beban kewangan golongan asnaf usahawan yang terkesan untuk membangunkan semula perniagaan mereka.


 

noh
                                                                                                   Tan Sri Noh Omar

 


"MEDAC dan agensi-agensi di bawahnya prihatin dengan situasi semasa yang melanda negara dan akan sentiasa melihat keperluan yang timbul dari semasa ke semasa bagi membantu semua pihak khususnya golongan usahawan untuk meringankan beban mereka," tambah beliau.

 

Selain program penyerahan zakat hari ini, MEDAC melalui agensinya, Pernas turut melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu Program Asnafpreneur yang bertujuan memberi suntikan modal kepada golongan asnaf yang ingin memulakan perniagaan prafrancais di bawah Program Business in Transformation ( BIT ) melalui program kendalian Pernas iaitu Projek “Be Your Own Boss (BYOB)”.

 

Pernas dengan kerjasama MAIWP telah mengenal pasti 50 orang asnaf dalam kalangan wanita dan belia yang berumur 21 sehingga 60 tahun untuk menyertai Program Asnafpreneur.

 

Melalui program ini, mereka dibimbing oleh Pernas melalui kursus latihan selama 5 hari secara fizikal, sesi padanan perniagaan bagi pakej perniagaan di bawah Program BIT dan pemantauan perniagaan selama 6 bulan selepas perniagaan dijalankan.

 

Pernas telah memperuntukkan sebanyak RM266,635.00 bersamaan RM5,000.00 bagi setiap peserta program melalui penyaluran wang Zakat Wakalah sebagai modal permulaan perniagaan.

 

Bagi peserta yang memilih pakej perniagaan program BIT yang melebihi RM5,000.00, mereka boleh memohon bantuan pembiayaan sehingga 90% dengan kadar pembiayaan 3.75% dan saiz pembiayaan sehingga RM25,000.00  daripada Pernas.


 

Mohd Hilaluddin Abd Shukor
                                                                              Mohd Hilaluddin Abd Shukor

 


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mohd Hilaluddin Abd Shukor, program ini memberi peluang kepada para asnaf untuk meneroka peluang perniagaan prafrancais dengan bantuan dan bimbingan daripada Pernas.

 

Inisiatif ini dilihat dapat membantu mereka untuk menambahbaik taraf kehidupan dan menjana pendapatan yang lebih baik. – DagangNews.com