MEDAC peruntuk RM100 juta bagi program First Lose, Last to Open Usahawan Mikro | DagangNews Skip to main content

MEDAC peruntuk RM100 juta bagi program First Lose, Last to Open Usahawan Mikro


PUTRAJAYA 29 Jun - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) memperuntukkan RM100 juta bagi program  First Close, Last To Open (FCLO) iaitu program pemulihan usahawan mikro yang terlibat dalam perniagaan serta perkhidmatan bukan keperluan utama yang terjejas akibat pendemik COVID-19.

 

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, program FCLO itu yang dijalankan secara kolaborasi antara MEDAC dengan agensinya, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dijangka memanfaatkan kira-kira 10,000 usahawan FCLO.

 

Selain menawarkan  pembiayaan sehingga RM10,000 setiap peserta, program itu juga memberikan penyelesaian menyeluruh untuk peserta seperti khidmat nasihat termasuk perundingan secara berstruktur, bimbingan, latihan dan pemantauan, katanya.

 

Dalam sidang media secara maya hari ini, Wan Junaidi berkata  jenis perniagaan yang diberikan keutamaan untuk program berkenaan ialah penjagaan ibu bersalin, kedai buku dan alat tulis, pusat tuisyen, pengurusan acara serta katering, cucian kereta dan jahitan.

 

“Jika kita tidak tolong kumpulan ini, kemungkinan empat juta warga tempatan akan kehilangan pekerjaan," katanya, lapor Bernama.

 

Peruntukan RM100 juta berkenaan adalah daripada dana Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang diberikan kepada TEKUN bagi membantu perusahaan mikro dalam memulihkan perniagaan.

 

wan junaidi tuanku jaafar
Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

 

Menurut Wan Junaidi, kaji selidik MEDAC mendapati lebih 80% daripada usahawan FCLO adalah dalam kalangan B40 serta ramai antara mereka tidak mempunyai simpanan wang yang mencukupi dan tiada faedah pekerja.

 

“Lebih daripada 60% golongan ini tidak mempunyai insurans dan tidak mempunyai sebarang pelan perlindungan termasuk jaringan keselamatan sekiranya mereka hilang pekerjaan,” katanya. - DagangNews.com