MEDAC, PUNB meterai MoU perkasa usahawan Bumiputera | DagangNews Skip to main content

MEDAC, PUNB meterai MoU perkasa usahawan Bumiputera

 MEDAC, PUNB meterai MoU perkasa usahawan Bumiputera

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 Mac - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi tujuh agensi di bawahnya memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

 

Agensi yang terlibat adalah UDA Holdings Berhad, SME Corp Malaysia, SME Bank, Bank Rakyat, TEKUN Nasional, Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembiayaan dan kekurangan dana adalah antara penyumbang utama kepada kekurangan penyertaan usahawan Bumiputera dalam sektor ekonomi.

 

Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

 

"Pada tahun 2020, sejumlah RM833 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan 23 program pembangunan Bumiputera yang memanfaatkan 131,807 usahawan. Kesemua program tersebut dilaksanakan secara rentas agensi di bawah MEDAC.

 

“Saya juga yakin bahawa dengan kerjasama yang dimeterai ini, satu sinergi baharu dapat dizahirkan dan tidak mustahil ianya dapat melahirkan 100 jutawan setiap tahun dalam kalangan PKS hasil daripada kerjasama strategik di antara MEDAC dan PUNB," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

.

 

MoU tersebut adalah sebagai satu sinergi dalam usaha mewujudkan ekosistem perniagaan yang kondusif bagi menjana sosio ekonomi Bumiputera yang lebih berdaya saing.

 

Kerjasama dan kolaborasi strategik yang dimeterai itu dapat menyediakan peluang kepada semua usahawan Bumiputera secara adil dan saksama.

 

Sementara itu, Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar berkata, MoU antara PUNB dengan tujuh agensi di bawah MEDAC itu membabitkan lima skop kerjasama.

 

Noh Omar
Noh Omar

 

"Skop kerjasama tersebut adalah tawaran pembiayaan perniagaan; peluang perniagaan untuk usahawan Bumiputera bagi pasaran tempatan dan antarabangsa; perkongsian idea, bahan penerbitan dan kemudahan fasiliti; promosi dan program pembangunan serta penawaran premis perniagaan di lokasi-lokasi strategik," jelas beliau.

 

Ketujuh-tujuh agensi yang terlibat dengan MoU berkenaan mempunyai agenda yang sama dalam pembangunan keusahawanan negara melalui aspek perkhidmatan yang berbeza.

 

Perbezaan perkhidmatan yang ditawarkan setiap agensi adalah satu kelebihan kepada usahawan dengan lebih banyak pilihan untuk mendapatkan pembiayaan perniagaan dan khidmat sokongan korporat.

 

Dalam pada itu, MEDAC dan PUNB memberi keyakinan bahawa pemeteraian MoU itu adalah sebagai tunjang demi misi untuk membantu mengembangkan perniagaan usahawan Bumiputera dan melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing selaras dengan Teras Strategik 3 dalam Dasar Keusahawanan Nasional iaitu “Merangsang Pembangunan Keusahawanan Bersepadu dan Holistik”. - DagangNews.com