MEDAC tawar moratorium 3 bulan kepada koperasi | DagangNews Skip to main content

MEDAC tawar moratorium 3 bulan kepada koperasi

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar

 

PUTRAJAYA 7 Jun – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menawarkan kemudahan penangguhan bayaran balik (Moratorium KPP 3.0) Pembiayaan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM) dalam usaha membantu meringankan beban kewangan koperasi yang terjejas akibat PKP 3.0.

 

Sebanyak 1,056 koperasi seluruh negara akan menerima manfaat daripada pelaksanaan Moratorium KPP 3.0 TMPSKM ini. Sehingga 30 April lalu, jumlah akaun pembiayaan TMPSKM adalah sebanyak 1,734 dengan kelulusan pembiayaan keseluruhan bernilai RM1.66 bilion.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pelaksanaan kemudahan moratorium PKP 3.0 di bawah pembiayaan TMPSKM diteruskan dengan menawarkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman untuk tempoh tiga (3) bulan bermula pada
1 Jun sehingga 31 Ogos 2021.

 

Koperasi-koperasi yang terjejas akibat pandemik COVID-19 hanya akan membuat bayaran balik pinjaman mulai 1 September 2021.

 

Bagi tujuan tersebut, proses permohonan akan dipermudahkan di mana koperasi yang layak hanya perlu mengemukakan dokumen sokongan iaitu permohonan rasmi daripada koperasi, Penyata Terimaan dan Bayaran serta penyata bank bagi tempoh tiga (3) bulan secara atas talian.

 

MEDAC dan SKM akan terus komited dalam membantu menyediakan kemudahan khidmat nasihat dan bantuan perundingan secara berterusan kepada koperasi-koperasi yang memerlukan perundingan, menerusi talian/emel seperti berikut:

 

  • MEDAC (Pusat Sehenti Keusahawanan) :
    Hotline 1-300-88-1020 / korporat@medac.gov.my
     
  • Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) :
    Hotline 011-14736471 / mora3.0tmp@skm.gov.my

 

“Kemudahan moratorium PKP 3.0 ini ditawarkan kepada semua koperasi yang mempunyai akaun pembiayaan di bawah TMPSKM. Walau bagaimanapun, koperasi yang mempunyai akaun pembiayaan bagi aktiviti kredit, kelulusan moratorium PKP 3.0 tertakluk kepada koperasi yang menawarkan kemudahan
moratorium kepada anggota-anggota koperasi”.

 

“MEDAC berharap kemudahan moratorium PKP 3.0 bagi pembiayaan TMPSKM ini dapat membantu kelangsungan aktiviti perniagaan gerakan koperasi dan menyediakan kemudahan tunai tambahan untuk operasi koperasi”, tambah beliau lagi. - DagangNews.com