MEDAC tawar moratorium 6 bulan bantu usahawan PMKS terjejas banjir | DagangNews Skip to main content

MEDAC tawar moratorium 6 bulan bantu usahawan PMKS terjejas banjir

 

PUTRAJAYA 3 Jan – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui agensi-agensinya bersetuju untuk memberikan moratorium sehingga 6 bulan kepada usahawan Perusahaan Mikro Kecil Dan Sederhana (PMKS) yang mendapat pembiayaannya.

 

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pakej-pakej ini diberi moratorium pembayaran balik sehingga 6 bulan.

 

Menurut beliau, MEDAC menzahirkan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang prihatin dengan masalah usahawan PMKS dan mahu supaya sektor PMKS dipulihkan segera seperti di dalam ucapan sempena tahun baru 2022.

 

''Selaras dengan iltizam Perdana Menteri itu, MEDAC melalui agensi berkaitan telah bersetuju untuk memberikan moratorium kepada usahawan PMKS yang mendapat pembiayaan dibawah MEDAC.

 

''Ini berikutan bencana banjir yang melanda negara yang mengakibatkan banyak perniagaan usahawan terkesan dan memerlukan tempoh masa tertentu untuk kembali beroperasi seperti biasa,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Berikut adalah agensi atau institusi kewangan dibawah MEDAC:

 

1. Bank Rakyat memberi penangguhan kepada peminjam yang terkesan dengan banjir selama 6 bulan. Penangguhan ini melibatkan mereka yang meminjam dengan Bank Rakyat melalui Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan penangguhan bayaran keuntungan bagi Pajak Gadai-i.

 

2. Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) memberi moratorium kepada usahawan yang terkesan dengan banjir selama 6 bulan bergantung kepada sejauh mana kesan banjir dihadapi oleh usahawan.

 

3. SME Bank memberi pengecualian sewaan selama 2 bulan kepada mana-mana penyewa di kompleks perniagaan usahawan SME Bank yang terjejas akibat bencana banjir. SME Bank juga menawarkan penjadualan semula kepada semua usahawan terkesan dengan banjir dan menawarkan Dana Pemulihan Bencana dengan jumlah pembiayaan sehingga RM500,000u dengan 6 bulan moratorium.

 

4. SME Corp menawarkan 3 pakej pembiayaan iaitu SME Revitalisation Financing (SMERF), Soft Loan Scheme For Small and Medium Enterprise (SLSME) dan SME Emergency Fund (SMEEF) untuk semua PKS terjejas banjir dalam semua sektor ekonomi dan layak untuk membeli peralatan, baik pulih premis perniagaan dan dana modal permulaan perniagaan.

 

Noh berkata, untuk peserta 3 program sedia ada ini juga akan diberikan moratorium sehingga 6 bulan sehingga Jun 2022.

 

''Kerajaan kekal komited dalam memastikan bantuan disediakan menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia,'' kata beliau. - DagangNews.com