Media tradisional terus berdepan prospek suram kesan penyusutan perbelanjaan iklan, saingan sengit platform digital | DagangNews Skip to main content

Media tradisional terus berdepan prospek suram kesan penyusutan perbelanjaan iklan, saingan sengit platform digital

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Julai - Media tradisional dijangka terus berdepan prospek suram kesan penyusutan perbelanjaan iklan (adex) dengan pengiklan lebih memilih platform digital bagi produk mereka.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, selain itu ia juga dipengaruhi sentimen pengguna yang lemah dan saingan sengit daripada tawaran platform penstriman OTT yang lebih murah.

 

Katanya, data Nielsen menunjukkan bahawa adex untuk Januari hingga Mei 2024 mencatatkan 7% dengan televisyen siaran percuma (FTA TV) mencatatkan pengembangan terbesar sebanyak 13% dari tahun ke tahun.

 

"Akhbar bagaimanapun terus merosot sebanyak 4% dari tahun ke tahun kerana kami menganggap pengiklan semakin menjauhi saluran media tradisional dan beralih kepada platform digital.

 

"Kami menyaksikan bahawa jurang antara dua medium itu terus melebar kepada RM203 juta bagi lima blan pertama tahun ini berbanding RM179 juta bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyatakan, sentimen pengguna yang lebih lemah adalah disebabkan jangkaan prospek pekerjaan yang suram, pertumbuhan pendapatan dan kebimbangan mengenai inflasi.

 

Selain itu katanya, keseluruhan tinjauan pengiklanan adalah pada arah aliran berhati-hati memandangkan ketegangan geopolitik yang berpunca daripada perang Hamas-Israel – satu isu dekat di hati ramai rakyat Malaysia.

 

Katanya, boikot berterusan telah mendorong perniagaan untuk lebih berhati-hati dalam perbelanjaan iklan dan mengelak daripada dikaitkan dengan rejim Zionis.

 

"Ini telah menyebabkan perniagaan beroperasi dengan keterlihatan yang minimum, kerana kesilapan langkah boleh memberi kesan buruk kepada mereka.

 

"Secara keseluruhan, kami menjangkakan perbelanjaan pengiklanan lemah dalam tempoh terdekat, kerana perniagaan mengurangkan belanjawan pemasaran mereka di tengah-tengah sentimen berhati-hati," katanya.

 

HLIB mengekalkan saranan 'underweight' terhadap sektor media. - DagangNews.com