Melaka beralih ke Fasa 2, Negeri Sembilan ke Fasa 3 kata Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Melaka beralih ke Fasa 2, Negeri Sembilan ke Fasa 3 kata Perdana Menteri

PUTRAJAYA 2 Sept -  Sidang Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 mengumumkan Melaka beralih ke Fasa 2 dan Negeri Sembila ke Fasa 3, berkuatkuasa 4 September ini, kata Perdana Menteri.

 

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat juga bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program “travel bubble” berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan dengan Langkawi dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September.

 

Katanya, destinasi pelancongan yang lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80%.

 

Selain itu, mesyuarat juga telah sebulat suara bersetuju agar Sidang Khas ini dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik bakal melibatkan wakil daripada parti pembangkang.

 

''Pendekatan ini merupakan salah satu usaha kolektif untuk melibatkan semua pemegang taruh bagi memastikan pemulihan negara berjalan seperti yang telah dirancang, seiring dengan semangat Keluarga Malaysia,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, hari ini buat pertama kalinya selepas beberapa bulan, kadar purata kebolehjangkitan (R-naught) seluruh negara berada di bawah 1.0, dan beliau yakin negara ini berada di landasan yang tepat ke arah pemulihan.

 

 

PM
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Berdasarkan unjuran data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), purata kadar vaksinasi di setiap negeri dijangka mencapai 80% bagi populasi dewasa menjelang penghujung September 2021.

 

''Saya percaya kadar vaksinasi 100% akan dicapai akhir Oktober 2021, sekali gus memberi perlindungan kepada Keluarga Malaysia.

 

''Rakyat dan seluruh Keluarga Malaysia juga perlu bersedia untuk hidup bersama COVID-19 sebagai endemik selepas Oktober apabila suntikan vaksin dijangka selesai sepenuhnya,'' kata beliau.

 

Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta untuk membentangkan strategi baharu pandemik dan endemik yang bersesuaian selain daripada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semata-mata.

 

''Saya menyambut baik saranan mengenai usaha untuk melakukan perubahan kepada tingkah laku (behavioural change) seperti yang diumumkan KKM pada 1 September 2021.

 

''Keluarga Malaysia perlu sedar, akhirnya kita terpaksa hidup bersama COVID-19 seperti yang berlaku di seluruh dunia,'' kata Perdana Menteri. - DagangNews.com