Memacu penerapan AI dalam reka bentuk Seni Bina | DagangNews Skip to main content

Memacu penerapan AI dalam reka bentuk Seni Bina

Graphisoft mengintegrasikan visualizer berasaskan AI ke dalam perisian Pemodelan Maklumat Bangunannya (BIM), Archicad, bagi membolehkan pengguna menjana pilihan reka bentuk fotorealistik secara mudah dan cepat

Graphisoft, pemaju perisian Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) yang terkemuka untuk seni bina dan reka bentuk multidisiplin, memperkenalkan Archicad AI Visualizer baru-baru ini.

 

Ciri baharu ini dikuasakan oleh Stable Diffusion, iaitu alat penjanaan imej berasaskan AI yang bertaraf dunia. Ia mampu menghasilkan visualisasi 3D yang terperinci semasa peringkat reka bentuk awal, dengan sokongan antara muka pengguna yang ringkas dan dioptimumkan untuk seni bina dan reka bentuk dalaman.

 

Kecerdasan buatan (AI) telah diiktiraf sebagai antara teknologi yang paling berkuasa dan transformatif dalam industri seni bina, kejuruteraan dan pembinaan (AEC), dengan potensi untuk merevolusikan reka bentuk, pembinaan dan pengendalian bangunan.

 

“Keterujaan terhadap penemuan AI telah ‘menggegarkan’ keseluruhan industri, dengan janji untuk menjana peningkatan kreativiti dan produktiviti,” kata Naib Presiden Kejayaan Produk Graphisoft, Márton Kiss.

 
                         

kiss
                   Márton Kiss

 


“Ia memperkenalkan cara baharu untuk berinteraksi dengan reka bentuk, menyediakan proses yang lebih lancar untuk membuat keputusan termaklum dan mencapai hasil yang dihasratkan. Jadi, lelaran cepat boleh dicapai dengan setiap titik keputusan, sekali gus mewujudkan satu proses yang lebih dinamik.”

Archicad AI Visualizer menghasilkan alternatif reka bentuk dalam fasa reka bentuk awal dengan menambahkan butiran, konteks dan idea kepada konsep asal.

 

Ciri tersebut diintegrasikan ke dalam perisian BIM utamanya, Archicad, tanpa memerlukan pembelian tambahan. Pengguna boleh bermula dengan mencipta model konsep yang ringkas dalam Archicad.

 

Kemudian, sebarang variasi reka bentuk yang diperhalusi boleh dijana dengan menggunakan gesaan teks (text prompt) atau beberapa perkataan deskriptif.


 

parafrasa


 

Memajukan Masa Depan Seni Bina

Keupayaan baharu ini adalah sejajar dengan pelan hala tuju inovasi produk multi-laluan Graphisoft, sekali gus menonjolkan komitmennya untuk memajukan seni bina, reka bentuk multidisiplin, kerjasama berpasukan dan ekosistem yang produktif.

 

Pelan hala tuju yang telus ini menggariskan inovasi-inovasi utama yang dikuasakan oleh teknologi Adaptive Hybrid Framework mereka, bagi menjamin penyampaian ciri-ciri berkualiti tinggi secara pantas serta integrasi teknologi inovatif yang lancar, seperti AI.

 

Kiss optimis tentang kesediaan industri AEC untuk menerima AI walaupun industri ini mempunyai reputasi sebagai ‘digital laggard’ atau ketinggalan digital.

 

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, industri ini telah menyaksikan penerapan teknologi yang memberangsangkan dan peningkatan kesedaran tentang manfaat alatan digital.

 

Malah itu, pasaran untuk AI dalam pembinaan dijangka akan melonjak dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 24.31% untuk mencapai AS$9.53 bilion menjelang 2028, sekali gus menonjolkan potensi penerapan AI secara meluas dalam industri.

 

 

parafrasa

 

parafrasa

 

 

Graphisoft merancang untuk meneruskan penyelidikannya dan melabur dalam AI dan Pembelajaran Mesin bagi membantu dan membolehkan pakar reka bentuk memfokuskan kepada aspek kreatif dan nilai tambah profesion masing-masing. Contoh tugasan yang disokong AI termasuklah pengoptimuman reka bentuk, kelestarian, dokumentasi dan automasi tugasan lain yang memakan masa.

 

Dalam satu wawancara, Kiss mengupas tentang kebimbangan berkaitan kehilangan pekerjaan serta jurang kemahiran yang berkaitan dengan penerapan AI secara meluas.

 

“Evolusi reka bentuk bangunan mewajibkan kita untuk menerima teknologi baharu. Sungguhpun AI sudah pasti akan mengubah industri, ia tidak mampu menggantikan arkitek. Namun, ia pastinya akan menyusun semula peranan mereka.

 

"Kekuatan AI terletak pada keupayaannya untuk menghubungkan input dan output. Namun, ia kekurangan kreativiti dan sentuhan manusia yang diperlukan bagi menghasilkan reka bentuk baharu.

 

"Alatan AI seperti Archicad AI Visualizer boleh memberi inspirasi dan membantu arkitek meneroka idea dengan lebih cekap, manakala arkitek manusia akan kekal sebagai penggerak di sebalik reka bentuk yang inovatif,” jelas Kiss.

 

Meskipun masih di peringkat awal, AI mempunyai potensi besar untuk merevolusikan industri AEC, dan arkitek yang mengamalkan pembelajaran berterusan akan berada di barisan hadapan dalam transformasi ini.

 

Arkitek mesti bergerak seiring dengan perkembangan teknologi AI, serta memperoleh pengetahuan baharu tentang algoritma dan aplikasi AI. Di samping itu, mereka mesti meneroka cara inovatif untuk mengintegrasikan AI sepanjang kitaran hayat projek.

 

“Di Graphisoft, kami berazam untuk memupuk satu komuniti pakar yang berkembang maju untuk berkongsi pengetahuan serta giat menyumbang kepada pembangunan penyelesaian kami.

 

"Melalui Graphisoft Learn, kami menawarkan satu set bahan pembelajaran yang komprehensif untuk pembelajaran kendiri dan diterajui pengajar, bagi membolehkan pengguna menguasai kemahiran baharu dan mengikuti perkembangan BIM yang terkini.

 

"Selain itu, Graphisoft Community akan memupuk persekitaran kolaboratif di mana pengguna boleh mendapatkan bantuan pakar dan maklum balas rakan sebaya dengan segera.”

 

 

parafrasa

 

parafrasa

 

 

Hari ini, Archicad Graphisoft digunakan oleh arkitek dan pakar reka bentuk di lebih 100 negara dan tersedia dalam 29 bahasa dan konteks tempatan.

 

Berjuta-juta bangunan di seluruh dunia telah direka bentuk dengan menggunakan Archicad, termasuk bangunan pencakar langit kedua tertinggi di dunia, Merdeka 118 di Malaysia, Charles Perkins Centre yang ikonik di Sydney, Australia, dan Shizukokoro, sebuah apartmen berinspirasikan Jepun di Singapura yang memenangi anugerah. - DagangNews.com