Membina masa hadapan berdaya tahan: Mempersiapkan pelajar untuk Pengajian Tinggi dan Kerjaya | DagangNews Skip to main content

Membina masa hadapan berdaya tahan: Mempersiapkan pelajar untuk Pengajian Tinggi dan Kerjaya

Oxford kini mempersiapkan pelajarnya dengan ‘pendekatan  sekolah secara menyeluruh’ dari usia  seawal 2 tahun hingga 19 tahun
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 22 Nov -  Dalam era yang dipacu oleh anjakan dinamik dan keterhubungan global, landskap pendidikan berubah dengan begitu pesat.

 

Pendidikan untuk masa hadapan mencakupi aspek yang lebih luas, tidak lagi sekadar menimba pengetahuan. Pelajar perlu membina daya ketahanan, melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran yang sewajarnya dan mampu menyesuaikan diri untuk memenuhi permintaan serta keperluan pasaran pekerjaan masa hadapan.

 

Kementerian Pendidikan Malaysia mengakui kepentingan untuk mempersiapkan pelajar bagi menghadapi cabaran masa hadapan.

 

Pengarah Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan, Aniza Kamarulzaman berkata, “Aspirasi kami seiring dengan usaha mewujudkan persekitaran pendidikan yang bukan sahaja merangsang kecemerlangan akademik bahkan pembangunan individu secara menyeluruh yang bersedia untuk menyumbang kepada masyarakat global.

 

"Melalui penekanan terhadap daya tahan dan kesediaan masa hadapan, kementerian berhasrat untuk melahirkan pelajar yang boleh menghadapi ketidaktentuan dengan yakin dan mampu bersaing dalam tenaga kerja masa hadapan,” ujar beliau.


 

Aniza Kamarulzaman
                                    Aniza Kamarulzaman

 


Selari dengan aspirasi berkenaan, Oxford University Press, sebuah jabatan di University of Oxford, memperkenalkan pendekatan sekolah secara menyeluruh untuk persiapan masa hadapan bagi pelajar berumur 2 hingga 19 tahun yang merangkumi Kurikulum Antarabangsa Oxford (Oxford International Curriculum) dan Kelayakan Antarabangsa OxfordAQA (OxfordAQA International Qualifications). 

 

Kurikulum Antarabangsa Oxford (Oxford International Curriculum) yang mula diperkenalkan di peringkat global pada 2021, kini boleh diakses oleh pelbagai jenis sekolah di Malaysia, dan menjadi panduan lebih daripada 100 institusi pendidikan di seluruh dunia.

 

Kurikulum ini direka untuk menerapkan aspek kesejahteraan dalam semua pengajaran dan pembelajaran, selain bertujuan memupuk kemahiran global dan sikap pelajar melalui semua subjek teras seperti Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Perkomputeran, Kemahiran Global dan Kesejahteraan, bermula dari kanak-kanak hingga ke peringkat menengah rendah.

 

Perkembangan kurikulum ini dari setahun ke setahun direka khusus untuk mempersiapkan pelajar menghadapi peperiksaan GCSE, AS dan A-Level OxfordAQA Antarabangsa (Oxford AQA International). 

 

Kurikulum Antarabangsa Oxford (Oxford International Curriculum) adalah hasil penyelidikan terperinci Oxford yang menunjukkan apabila pengajaran dan pembelajaran disulami dengan amalan kesejahteraan, ia boleh memberi kesan positif dalam membentuk tabiat yang menyihatkan minda dan tubuh badan.

 

Bahkan pelajar juga boleh menerapkan konsep ini dalam kehidupan mereka pada masa sekarang dan akan datang. Penekanan terhadap aspek kesejahteraan ini bertujuan meningkatkan kesihatan mental guru dan pelajar, selain menambahbaik kualiti kehidupan di dalam dan di luar bilik darjah.

 

Peperiksaan GCSEs, AS dan A-Levels OxfordAQA Antarabangsa (Oxford AQA International), yang diiktiraf secara global dan diselaraskan mengikut standard United Kingdom, direka khusus bagi memenuhi keperluan pelajar antarabangsa di samping membina kemahiran menghadapi masa hadapan.

 

Peperiksaan ini juga memberi keutamaan kepada kemahiran khusus dalam subjek yang dipelajari berbanding pengetahuan budaya dan kecekapan bahasa. Ia sejajar dengan prinsip Penilaian Saksama OxfordAQA yang menekankan aspek kandungan dan rekaan yang relevan di peringkat antarabangsa.

 

Ini bermakna, pelajar di luar United Kingdom dan bahasa Inggeris pula bukan bahasa ibunda, akan berasa yakin mereka dapat memahami soalan yang ditanyakan.

 

Pengarah Urusan OxfordAQA, Andrew Coombe yang turut hadir dalam majlis bertema “Memperkasakan pelajar hari ini untuk cabaran esok” berkata: “Saya sangat teruja dan yakin dengan Kurikulum Antarabangsa Oxford (Oxford International Curriculum), yang mengadunkan nilai  kesepaduan, kesinambungan dan ketekalan (konsisten), untuk mempersiapkan pelajar menghadapi peperiksaan antarabangsa GCSE, AS dan A-Level OxfordAQA (OxfordAQA International).

 

"Melalui pendekatan sekolah secara menyeluruh yang holistik, saya yakin para pelajar akan mencapai potensi mereka sepenuhnya, apatah lagi dengan adanya kurikulum yang komprehensif, sumber bertaraf dunia, pembangunan profesional yang berkualiti dan kelayakan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

 

“Sebagai salah satu lembaga peperiksaan antarabangsa yang pesat berkembang, kelayakan OxfordAQA memainkan peranan penting dalam perjalanan akademik pelajar. Ramai pelajar yang menduduki ujian kelayakan OxfordAQA berjaya melanjutkan pengajian di universiti antarabangsa terkemuka kerana pencapaian mereka itu diiktiraf oleh institusi pendidikan di seluruh dunia.”

 

“Pendekatan sekolah secara menyeluruh dengan Kurikulum Antarabangsa Oxford (Oxford International Curriculum) dan Kelayakan Antarabangsa OxfordAQA (OxfordAQA International Qualifications) ini sememangnya membuka laluan kejayaan untuk pelajar,” kata Coombe.


 

iktisad
Andrew Coombe menyampaikan tanda penghargaan kepada Aniza Kamarulzaman


 

Sebagai pengiktirafan kepada OxfordAQA Go Further Awards, Oxford juga mengambil peluang pada majlis itu untuk mengumumkan pemenang Anugerah Pencapaian Pelajar OxfordAQA 2023 (OxfordAQA Student Achievement Awards 2023).

 

Anugerah berprestij ini meraikan kecemerlangan peperiksaan dan dianugerahkan kepada pelajar yang mendapat markah tertinggi di negara atau wilayah mereka untuk satu subjek dalam GCSE, AS dan A-level Antarabangsa.

 

Pemenang Anugerah Asia Tenggara yang berasal dari Malaysia untuk tahun ini adalah:

International GCSE

  • KEITH LOH YENN HAU STRAITS INTERNATIONAL SCHOOL Chemistry
     
  • JAC HUEY LIM NEXUS INTERNATIONAL SCHOOL MALAYSIA Physics
     
  • TETSUTO MASUNAGA NEXUS INTERNATIONAL SCHOOL MALAYSIA Combined Science Ext
     
  • ELISA JOAN DANKER CEMPAKA INTERNATIONAL SCHOOL Business

 

International AS

  • XIN YEE TEH HELP INTERNATIONAL SCHOOL Business AS

 

Layari www.oup.com/leadwithoxford untuk keterangan lanjut mengenai pendekatan seluruh sekolah. - DagangNews.com