Memori berdialog dengan Ali Hamsa di Dubai | DagangNews Skip to main content

Memori berdialog dengan Ali Hamsa di Dubai

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR

BEKAS ketua setiausaha negara Ali Hamsa meninggal dunia hari ini pada usia 67 tahun. Beliau meninggal di Hospital Dublin, Ireland dalam bulan yang mulia, bulan Ramadan. Berita yang mendukacitakan semua, terutama untuk penjawat awam di seluruh negara.

 

Sememangnya Ali Hamsa mempunyai rekod kerja yang baik sebagai Ketua Setiausaha Negara ke-13, dan telah menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1981.

 

Ali pernah berkhidmat di pelbagai Kementerian dan Jabatan antaranya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pengangkutan, Unit Perancang Ekonomi, Intan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri.

 

Ali juga pernah mengarang dua buah buku, iaitu Dasar-dasar Utama Kerajaan pada 1997 dan Malaysia Kita pada 1998.

 

Pada Oktober 2017, beliau menjadi rakyat Malaysia pertama menerima ijazah kedoktoran sains kehormat daripada B.S. Institut Sains dan Teknologi Abdur Rahman Crescent di Chennai, India.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pemergian Tan Sri Dr Ali Hamsa kehilangan besar buat negara - PM

 

Saya teringat pada Jumaat bulan Februari 2018, diadakan pertemuan dengan  Ali Hamsa dengan sebahagian kecil warga ekspatriat Malaysia di Dubai.

 

Pertemuan dengan makan malam diadakan di Rumah Malaysia, iaitu rumah rasmi Konsul Am Malaysia di Dubai waktu itu, Datuk Yubazlan Yusuf.

 

Lawatan KSN ke Dubai untuk menyertai Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia (WGS) yang berlangsung selama tiga hari bermula 11 Februari 2018. WGS dihadiri oleh 140 kerajaan seluruh dunia, 16 organisasi antarabangsa dan lebih 4,000 delegasi.

 

Dalam pertemuan dengan KSN, turut diadakan dialog untuk memberi peluang kepada kami bertanya mengenai situasi tanah air.

 

 

fudzail
Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa (duduk, 6 dari kanan) bersama rakyat Malaysia di Dubai pada 2018. - Gambar Fudzail

 


Dalam ucapan pembukaan, KSN memberi penjelasan mengenai keadaan semasa dari segi pertumbuhan ekonomi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), termasuk mengenai pelbagai inisiatif yang sedang dilakukan oleh kerajaan.

 

Turut dinyatakan yang tahun ini adalah tahun pilihan raya di mana Pakatan Harapan telah menang.

 

Tentunya maklumat yang sama sahaja dengan apa yang dibaca di media perdana dan tiada apa yang baharu. Semuanya bagus dan indah. Buat kami yang sentiasa mengikuti perkembangan melalui sosial media dan media alternatif, tentunya mendengar secara kritikal.

 

Apabila diberi kesempatan untuk bertanya, saya terus sahaja mengambil peluang untuk menyoal mengenai masalah pengangguran dalam kalangan siswazah dan mengenai KDNK berbanding realiti sebenar.

 

KSN memberitahu yang masalah pengangguran siswazah bukanlah perkara besar dan banyak peluang pekerjaan terutama di sektor swasta. Beliau tidak dapat menjelaskan berapakah jumlah sebenar siswazah yang menganggur.

 

Mengenai jumlah pekerja asing yang jumlah semakin ramai, beliau menegaskan mereka adalah perlu untuk mengisi bidang pekerjaan yang warga tempatan tidak mahu. Malah, tanpa pekerja asing banyak industri yang boleh lumpuh.

 

Ada juga pekerja asing di peringkat pengurusan dan teknikal, tetapi syarat kemasukan adalah ketat.

 

Di sektor awam pula, selepas usia pencen ditambah, masih ada banyak kekosongan untuk diisi. Selain, banyak pekerjaan yang sudah tidak diperlukan seperti jurutaip misalnya.


Saya menegaskan, dalam perkara berita palsu atau fake news, kerajaan juga menyumbang dan bukan semata-mata pihak pembangkang. Saya bermaksud, pihak kerajaan terutama politikus yang merasakan mereka berada di atas undang-undang, mestilah sama melihat diri dalam cermin.

 

Kalau kita membaca pelbagai kenyataan politikus, sama ada taraf menteri atau taraf ketua bahagian yang merapu dan memperbodohkan rakyat, yakni pembohongan selain separuh benar, akta berita palsu patut meliputi para badut ini.

 

 

fudzail

 

 

Hukuman kepada politikus yang berbohong bawah akta berita palsu patut lebih berat seperti melucutkan mereka dari apa sahaja jawatan dan tidak membenarkan mereka memegang kuasa sehingga mati.

 

Dengan media perdana dikuasai oleh parti politik seperti Umno, MCA dan MIC, kebebasan media, keadilan dalam pemberitaan dan ketelusan tidak mungkin berlaku.

 

Kerajaan boleh menuduh pihak lain menyebarkan berita palsu walhal para pemimpin kerajaan jauh lebih teruk dengan propaganda, dakyah, fitnah dan pertuduhan terpilih ke atas pihak yang tidak sehaluan.

 

Jawapan KSN, berita palsu adalah fenomena global dan orang persendirian turut terlibat dalam penyebaran berita palsu.

 

Saya bersetuju dengan beliau tetapi kita tidak membezakan berita palsu dari pihak kerajaan dan pembangkang, NGO atau orang persendirian kerana berita terlalu banyak setiap hari untuk diselidik.

 

Bagi saya dengan mengikuti Youtube dari laporan perseorangan sekurang-kurangnya dapat menilai berita lebih bermakna.

 

Pertanyaan lain dari warga yang hadir termasuk mengenai kebanjiran warga asing terutama di Kuala Lumpur memberikan gambaran menakutkan. Banyak kawasan yang dikuasai oleh warga asing tertentu dan rakyat tidak lagi merasa selamat.

 

Sebagaimana sekumpulan warga asing etnik Rohingya yang ditahan di Kedah selepas meloloskan diri dari Depot Tahanan Sementara Sungai Bakap di Relau, Bandar Baharu Kedah awal pagi tadi dipercayai lari tanpa arah tujuan.

 

Enam daripada mereka termasuk dua kanak-kanak maut dari 528 tahanan yang menempatkan 663 tahanan dalam kejadian rusuhan kecil kira-kira pukul 4.30 pagi.

 

Kerajaan Malaysia perlu belajar daripada kerajaan UAE dalam mengawal pekerja asing terutama buruh dengan menyediakan tempat tinggal yang terkawal. Kawasan tertentu disediakan dengan segala kemudahan untuk para buruh mendiami dengan selesa.

 

 

fudzail

 

 

UAE mempunyai 90 peratus warga asing dan penguatkuasaan yang ketat, efisien, tanpa rasuah dan konsisten, dibantu dengan teknologi canggih, menjadikan UAE sebuah negara yang aman dan selamat. Kes jenayah yang rendah menjadikan situasi yang membahagiakan untuk penghuni.

 

Sebaik dialog berakhir, KSN datang menemui saya dan sempat berbual seketika. Beliau sangat sukakan cara saya bertanya, kemudian, beliau menjemput saya ke pejabatnya kalau pulang ke Malaysia. Sesuatu yang saya akan lakukan sekiranya ada kesempatan.

 

Ali Hamsa sempat menawarkan kerja kerana beliau sukakan idea saya tetapi saya hanya tergelak kerana sudah memegang dua jawatan CEO di Dubai dan Abu Dhabi waktu itu. Tiada dalam fikiran untuk kembali ke tanah air dalam waktu terdekat.

 

Secara kesimpulannya, kami mengucapkan terima kasih kepada KSN, konsul am Malaysia dan warga diplomatik kita di Dubai yang mengadakan pertemuan julung-julung kali ini.

 

Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa, semoga rohnya di tempatkan bersama orang-orang yang beriman.   - DagangNews.com