PEMBASMIAN kemiskinan iaitu satu daripada tiga keutamaan strategik dalam kerangka Malaysia Madani turut menjadi agenda utama Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini memandangkan, setelah lebih 60 tahun merdeka, jumlah golongan miskin tegar masih lagi tinggi dengan 136,000 isi rumah sementara 308,000 lagi isi rumah dalam kategori miskin.
Menyifatkannya sebagai sesuatu memalukan dan tidak sepatutnya berlaku, Perdana Menteri ketika melancarkan kerangka Malaysia Madani berkata, dua keutamaan lain adalah penstrukturan semula ekonomi serta memulih dan menjana ekonomi
Enam rukun dalam kerangka Malaysia Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, nilai hormat, keyakinan dan ihsan memerlukan kepada kesalinghubungan yang rapat serta proses reformasi, perbincangan yang kolektif antara semua pihak, serta maklum balas daripada rakyat.
Konsep keterangkuman inilah yang ingin digarap Anwar selepas memperkenalkan kerangka Malaysia Madani dalam ucapan amanat 'Membangun Malaysia Madani’ pada 19 Januari lepas bagi membina semula negara bangsa Malaysia yang lebih berdaya saing.
Pensyarah kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin ketika mengulas isu kemiskinan berkata, pihak kerajaan boleh memikirkan pendekatan bantuan baharu yang boleh terus meringankan beban rakyat sama ada berbentuk jangka pendek mahupun jangka panjang.
“Contohnya dalam bantuan jangka pendek, pihak kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyantuni serta memberikan pelbagai bantuan termasuk bantuan kewangan bulanan kepada mereka yang betul-betul memerlukan. Contoh sedia ada seperti Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) dan Bantuan Warga Emas (BWE).
"Mungkin boleh berbincang dengan JKM untuk menyediakan beberapa lagi bantuan baharu yang difikirkan sesuai oleh kerajaan mengikut situasi dan kehendak semasa. Namun ia perlu juga melihat apakah ianya akan beri impak besar kepada implikasi kewangan negara dalam tempoh mendatang,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.
Menurut Muhammad Iqmal Hisham lagi, kerajaan juga perlu merangka bantuan jangka panjang dan pembinaan modal insan perlu diterapkan agar golongan miskin dan miskin tegar ini bersedia bukan sahaja dari sudut fizikal bahkan dari sudut pemikiran untuk mengubah taraf kehidupan mereka.
Ini termasuklah memberikan latihan dan pendidikan berkaitan kemahiran dan pengurusan kewangan agar golongan berkenaan dapat memanfaatkan pengetahuan untuk mengubah taraf hidup mereka.
Beliau juga berpandangan, masyarakat awam juga mesti membantu golongan berkenaan untuk menaiktaraf kemampuan kewangan mereka di samping memastikan tiada golongan yang tercicir ketika negara menuju kepada status berpendapatan tinggi.
Visi ini dilihat selaras dengan kenyataan Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli sebelum ini yang menyebut, tumpuan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi harus diberikan kepada matlamat pembangunan mampan, ekonomi berasaskan pengetahuan serta pembangunan teknologi negara.
“Apabila golongan rentan ini diberikan kemahiran dan bantuan memulakan perniagaan sendiri dan bekerja, masyarakat setempat boleh membantu dengan menyokong perniagaan dan pekerjaan yang mereka lakukan. Ini termasuklah menjadi pembeli dan pengguna barangan dan perkhidmatan yang disediakan. Mana-mana ahli masyarakat yang mampu menjadi majikan juga boleh membantu dengan menawarkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran mereka untuk menambahkan pendapatan golongan ini,” jelas Muhammad Iqmal Hisham.
Selain itu, kerajaan perlu juga menyusun strategi demi mengumpulkan kekuatan semua pihak berkepentingan bagi memainkan peranan masing-masing dalam meningkatkan ekonomi domestik dan membawa golongan rentan ini keluar dari kepompong kemiskinan.
Malaysia juga perlu meningkatkan lagi pengeluar barangan serta perkhidmatan dan memasarkannya di pasaran domestik terutamanya barangan dan perkhidmatan berkaitan makanan, yang mampu mengurangkan kebergantungan kepada bekalan makanan import
“Untuk menjayakan langkah ini, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak insentif bagi menggalakkan pertambahan pemain industri ini dan bantuan bukan hanya tertumpu pada bantuan modal semata-mata.
"Bantuan lain termasuklah menyediakan sokongan rantaian bekalan yang lengkap dan mencukupi agar pemain ini dapat menawarkan barangan dan perkhidmatan dengan harga yang kompetitif dan pada masa yang sama memiliki margin keuntungan yang kompetitif. Ini secara tidak langsung akan menjadikan ekonomi domestik lebih mandiri dan tidak bergantung dan terdedah dengan ekonomi luar yang tidak menentu,” tambahnya. - DagangNews.com