Menangi hadiah AS$5000 dengan Cabaran Startup NTT | DagangNews Skip to main content

Menangi hadiah AS$5000 dengan Cabaran Startup NTT

 

 

KUALA LUMPUR, 21 Okt. – Syarikat gergasi industri perkhidmatan teknologi global terkemuka dari Jepun, NTT Ltd. hari ini melancarkan Cabaran Startup NTT 2020 secara maya pada tahun ini.

Bertemakan ‘Smart World through Digital Transformation’, cabaran tahun ke-4 ini bakal memberi peluang kepada startup di Singapura, Thailand, Malaysia, Vietnam dan Indonesia  untuk memenangi hadiah dana bernilai AS$5,000 dan peluang menjalinkan kerjasama bersama rakan strategik Kumpulan NTT.

Bermula 25 November depan, sebanyak 20 startup dari pelbagai industri akan dipilih untuk membentangkan idea-idea inovatif masing-masing di hadapan sebuah panel yang merangkumi syarikat modal usaha niaga, CEO startup dan juga kakitangan eksekutif Kumpulan NTT.

Tiga idea terbaik akan memenangi wang tunai dan jemputan eksklusif ke ‘Acara Pemadanan Syarikat Perusahaan & Startup’ untuk berhubung terus dengan rakan strategik dan pelabur Kumpulan NTT.

Pengasas program Cabaran Startup NTT, Yasunori Kinebuchi berkata, cabaran yang akan berlangsung secara maya tahun ini diyakini dapat mendorong penyertaan daripada lebih banyak startup di Asia Tenggara.

“Kami telah menerima lebih 500 permohonan dari pelbagai cabang industri termasuk teknologi kewangan (FinTech), kecerdasan buatan (AI), perubatan, kesihatan, jualan, e-kecergasan dan e-dagang sejak pendaftaran dibuka pada bulan September lalu,” kongsinya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak NTT berharap dapat menerima usul-usul berasaskan model perniagaan yang lebih berinovatif dan segar bagi membantu merangsang perkembangan sektor syarikat baru mula di Asia Tenggara.

Selain peluang membentangkan idea-idea inovatif, barisan penceramah yang terdiri daripada pelabur-pelabur terkemuka dunia serta wakil-wakil startup juga akan turut berkongsi pandangan mengenai masa depan landskap ekonomi dan inovasi di Asia Pasifik secara maya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NTT Ltd. (ASEAN), Png Kim Meng berkata, sektor startup berasaskan inovasi teknologi di ASEAN telah berkembang dengan pesat sejak beberapa tahun lalu.

Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2017, cabaran ini berjaya membantu merangsang sektor startup di rantau Asia Tenggara menerusi sumbangan dana, menghubungkan para startup dengan rangkaian pelabur Kumpulan NTT dan juga memberi bantuan dari segi kemudahan teknologi.

Pendaftaran kini dibuka dan boleh dibuat di di laman web Cabaran Startup NTT 2020 di  http://www.nttstartupchallenge.com/. – DagangNews.com