Menantu Muhyiddin nafi larikan diri seperti didakwa SPRM | DagangNews Skip to main content

Menantu Muhyiddin nafi larikan diri seperti didakwa SPRM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Datuk Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa beliau tidak melarikan diri daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak pernah dipanggil oleh agensi itu untuk mesyuarat atau membantu dalam apa-apa jenis siasatan.

 

Beliau juga mendakwa telah memaklumkan kepada SPRM bahawa beliau sedang melancong ke luar negara.

 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui peguamnya, Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu dari Shukor Baljit & Partners, Muhammad Adlan menafikan bahawa beliau adalah seorang pelarian seperti yang dinyatakan oleh kenyataan SPRM pada 7 Ogos, yang telah meminta individu yang mempunyai maklumat mengenai dirinya serta peguamnya, Mansoor Saat untuk tampil membantu.

 

"Kami menolak tanggapan bahawa anak guam kami adalah seorang pelarian dan kami juga secara mutalak menolak dalam istilah yang paling tegas," katanya menerusi kenyataan itu.

 

Kenyataan itu seterusnya menjelaskan bahawa Muhammad Adlan telah dihubungi oleh seorang pegawai SPRM, yang telah dijawab oleh Muhammad Adlan dalam bentuk surat bertarikh 3 Jun 2023, untuk memaklumkan kepada SPRM bahawa beliau akan pergi ke luar negara untuk urusan perniagaan.

 

adlan
Datuk Muhammad Adlan Berhan

 

“Dalam surat itu, anak guam kami telah menyatakan bahawa dia melancong ke luar negara untuk perniagaan dan akan kembali setelah urusan ini diselesaikan," katanya.

 

Baljit berkata, mereka tidak menerima sebarang bentuk jawapan daripada SPRM sehingga kini.

 

Muhammad Adlan juga menafikan dakwaan bahawa beliau tidak boleh dihubungi dan menyatakan bahawa sedang berkomunikasi dengan pegawai penyiasat.

 

"Dia (Muhammad Adlan) menyatakan bahawa beliau bersedia untuk bekerjasama dalam mana-mana siasatan seperti yang dikehendaki oleh undang-undang selagi mana tiada unsur ancaman dan penganiayaan terhadapnya.

 

"Anak guam kami juga ingin menegaskan bahawa beliau tidak akan teragak-agak memulakan tindakan yang perlu untuk melindungi, memelihara dan membela haknya seperti yang termaktub dalam perlembagaan," kata Baljit. - DagangNews.com