Menarik ramai lagi pelabur Hong Kong, anggota Harimau Ekonomi Asia berdagang dengan Malaysia | DagangNews Skip to main content

Menarik ramai lagi pelabur Hong Kong, anggota Harimau Ekonomi Asia berdagang dengan Malaysia

Hong Kong adalah satu daripada empat negara yang dilabel Harimau Ekonomi Asia. - Gambar Manson Yim/Unsplash
Oleh JOHARDY IBRAHIM

TOPIK `Harimau Ekonomi Asia’ menjadi butir perbincangan di Malaysia baru-baru ini. Ia tercetus daripada pencapaian eksport dan import negara ini yang luar daripada jangkaan ahli ekonomi tempatan dan antarabangsa.

 

Kebetulan ini berlegar di minda bila menerima laporan sesi jerayawara ke Hong Kong oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour di Hong Kong pada 29 dan 30 Ogos 2024.

 

Hong Kong adalah satu daripada empat negara yang dilabel Harimau Ekonomi Asia. Tiga yang lain ialah Singapura, Korea Selatan dan Taiwan.

 

 

 

 

Mana Jepun? Negara matahari terbit ini setanding negara maju lain. Ringkasnya dalam Liga Piala Juara-Juara.

 

Suatu waktu tidak lama dahulu iaitu pada 1990-an, Malaysia `masuk sekejap’ klasifikasi ini setelah mencatat KDNK 8 peratus setahun selama beberapa tahun berturut-turut. Namun terencat semuanya pada 1998 ekoran Krisis Ekonomi Asia.

 

Pasca COVID-19, bukan sahaja Malaysia tetapi seluruh dunia bergelut dengan kelembapan dan berusaha sedaya-upaya mensenyawakan semula ekonomi masing-masing.

 

 

hikayat
Penjaja kecil berniaga di pasar malam. - Gambar arh Lee/ Unsplash

 

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 16 Ogos lepas memaklumkan ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024, melebihi unjuran awal iaitu 5.8 peratus, didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang baik, aktiviti pelaburan yang giat dan peningkatan ketara dalam ketibaan pelancong.

 

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour semasa mengulas mengenainya, pertumbuhan KDNK sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024 adalah yang tertinggi sejak suku keempat 2022.

 

Susulan itu, HSBC Global Research baru-baru ini telah menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia daripada 4.5% kepada 5%, memandangkan peningkatan ketara dalam KDNK 2Q dan momentum yang berterusan, terutamanya didorong oleh deruan perdagangan yang lebih kuat pada 2H24.

 

Pencapaian ini menunjukkan pemulihan yang nyata kerana ahli ekonomi sendiri meramalkan kelembapan tahun 2023 akan berlarutan ke tahun ini. Ketika itu, awan mendung ekonomi berasal dari Amerika Syarikat.

 

Memperakui `faktor-faktor luaran’ yang memberi impak ke atas ekonomi, kerajaan melancarkan dasar dalaman yang berani, terfokus dan patriotik.

 

 

parafrasa
Majlis pelancaran GEAR-uP oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Ogos 2024

 

 

Ia merangkumi dasar strategik GEAR-uP, yang mana fasa pertama program itu akan menyaksikan enam Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) terkemuka secara kolektif berikrar untuk melabur RM120 bilion dalam pelaburan langsung domestik (DDI) dalam tempoh lima tahun akan datang, di samping RM440 bilion dalam pelaburan pasaran awam di bawah program pelaburan keadaan mantap mereka.

 

Pelaburan ini terutamanya ditujukan kepada industri nilai tinggi pertumbuhan tinggi (HGHV) seperti sektor peralihan tenaga, pembuatan termaju terutamanya dalam ruang semikonduktor, pelaburan merentasi semua kitaran hayat firma daripada syarikat permulaan, modal teroka kepada syarikat peringkat pertengahan dan akhir untuk menyokong penyenaraian syarikat tersebut.

 

Pelaburan ini membentuk teras utama GEAR-uP untuk memacu pertumbuhan ekosistem ekonomi baharu dan seterusnya memacu penyertaan GLIC dalam pembinaan negara.

 

Enam GLIC itu ialah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP], Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji, dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

 

Dasar mempermudahkan kelangsungan perniagaan terus digiatkan oleh kerajaan dan sesi-sesi promosi perdagangan dilakukan oleh setiap lapisan dari peringkat pegawai sehinggalah ke menteri-menteri.

 

Inilah juga misi terbaharu Datuk Seri Amir Hamzah dan Dato’ Seri Abdul Rasheed di Hong Kong sebelum sambutan Hari Kebangsaan minggu lepas.

 

amir hamzah
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (tiga dari kanan), Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour (tiga dari kiri) pada acara Jerayawara Pelabur Hong Kong, dihoskan bersama dan dianjurkan oleh HSBC dan Standard Chartered di Hong Kong pada 29-30 Ogos 2024.

 

 

“Ekonomi Malaysia berada pada trajektori pertumbuhan teguh dengan pembaharuan berterusan yang menyemarakkan keyakinan pelabur, kata Datuk Seri Amir Hamzah kepada lebih 100 peneraju syarikat Hong Kong.

 

Jerayawara Pelabur Hong Kong, dihoskan bersama dan dianjurkan oleh HSBC dan Standard Chartered, memberi penerangan tentang kekuatan sedia ada Malaysia dan rangka kerja Ekonomi MADANI yang transformatif, meletakkan negara sebagai pemain utama dalam ekonomi ASEAN.

 

Bertujuan untuk mempamerkan kekuatan Malaysia dan potensi pelaburan yang ditawarkan kepada pelabur asing, sesi penglibatan tertumpu kepada menggiatkan semula ekonomi Malaysia melalui perdagangan rentas sempadan, inovasi digital, dan kewangan Islam, antara lain.

 

Perkara-perkara penting yang diketengahkan oleh Rangka kerja ekonomi MADANI dan Akta Tanggungjawab Fiskal sebagai keutamaan dalam penyusunan semula ekonomi. Penekanan diletakkan pada kemampanan, daya saing, dan meningkatkan kualiti hidup sebagai bidang yang penting untuk pembangunan.

 

Sebenarnya, hubungan dagang Malaysia-Hong Kong amat teguh. Hanya pada Februari lalu, Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong menubuhkan Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong (HKETO) baharu di Kuala Lumpur.

 

Kekuatan perkongsian ini terbukti dalam angka perdagangan yang kukuh antara kedua-dua pihak. Pada 2023, Malaysia dan Hong Kong menikmati jumlah dagangan RM105.09 bilion (AS$23.03 bilion) – jumlah eksport berjumlah RM89.84 bilion (AS$19.69 bilion), manakala jumlah import RM15.25 bilion (AS$4 bilion), dengan imbangan perdagangan memihak kepada Malaysia.

 

Kedua-dua pihak telah terlibat secara aktif antara satu sama lain semasa pertukaran lawatan peringkat tinggi.

 

 

hk
Ketua Eksekutif HKSAR, John Lee diberi sambutan rasmi semasa tiba di KLIA pada 2023. - BERNAMA

 

 

Selain daripada lawatan Ketua Eksekutif HKSAR, John Lee pada 2023, Setiausaha Kewangan dan Setiausaha bagi Perdagangan dan Pembangunan Ekonominya telah melawat Malaysia pada Mac dan Julai 2023.

 

Menteri-menteri Kabinet Malaysia, iaitu daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Pelancongan, Kesenian & Kebudayaan (MOTAC), serta Timbalan Menteri Luar telah mengadakan lawatan ke Hong Kong.

 

Pemulihan berterusan ekonomi negara tidak tertakluk kepada kerajaan semata-mata, tetapi setiap rakyat Malaysia.

 

Bagaimana? Ada banyak cara. Paling mudah ialah dengan mengutamakan dan membeli barangan buatan Malaysia. - DagangNews.com