Mengamati `Prinsip Burung di Tangan’ untuk bakal usahawan | DagangNews Skip to main content

Mengamati `Prinsip Burung di Tangan’ untuk bakal usahawan

Oleh Prof. Dr. Abdol Samad Nawi

DUNIA hari ini memerlukan graduan universiti untuk menjadi lebih responsif dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran, teknologi, masyarakat, sosial, politik dan ekonomi bagi mempersiapkan diri berdepan dengan VUCA (volatile, Uncertain, Complex dan Ambigious).

 

Perkembangan ilmu teknologi, sosial dan juga ekonomi akan menentukan kesejahteraan masyarakat khususnya dalam memenuhi keperluan hidup.

 

Namun begitu, jumlah pengangguran yang ramai dan perubahan pola pekerjaan di Malaysia menjadi penghalang besar dalam menentukan perkembangan ekonomi negara pada masa akan datang.

 

Walaupun seseorang graduan bekerja di syarikat, namun hati, minda dan jiwa keusahawanan tetap diperlukan agar mampu menghasilkan pelbagai inovasi untuk keunggulan syarikat.

 

Oleh kerana itu, graduan sebagai generasi penerus masa hadapan juga dituntut mempunyai minda, hati dan jiwa  keusahawanan walau pun tidak menjalankan perniagaan.

 

Untuk seseorang usahawan alumni menghasilkan Inovasi yang berasaskan pasaran, nilai kreativiti perlu dibangunkan melalui keusahawanan.

 

Keusahawanan dalam kalangan usahawan alumni perlu dilihat sebagai keupayaan kreatif dan inovatif yang digunakan sebagai asas, panduan dan sumber untuk mencari peluang untuk berjaya.

 

Mempunyai semangat keusahawanan bermakna menggalakkan mentaliti yang berdikari, kreatif, inovatif, bertanggungjawab, berdisiplin, dan tidak mudah berputus asa, sama seperti seorang usahawan apabila memulakan perniagaannya dari bawah.

 

Alangkah baiknya jika sifat-sifat ini dapat digarap pada peringkat minda, jiwa dan hati seseorang usahawan alumni agar mereka cekal, penuh idea, dalam menghadapi cabaran.


 

Prof Dr Abdol Samad Nawi
                                   Prof Dr Abdol Samad Nawi

 

 

Sifat-sifat ini menekankan bahawa graduan universiti tidak boleh lagi hanya bergantung kepada bidang yang dipelopori untuk mencari kerja, tetapi dituntut supaya memiliki kecekapan dan kemahiran yang dimiliki, supaya mereka dapat menjadi pencipta pekerjaan (job creator) yang sesuai dengan minat dan bakat mereka.

 

Terdapat banyak definisi keusahawanan, di mana ada di antaranya menjelaskan bahawa usahawan merupakan seorang yang merancang dengan teliti, menumpukan masa untuk mencari idea perniagaan yang sesuai, dan menjalankan kajian pasaran yang banyak sebelum memulakan perniagaan. 

 

Ada juga yang mentakrifkan usahawan sebagai mempunyai ciri personaliti istimewa yang menjadikan mereka sesuai secara semula jadi untuk memulakan perniagaan mereka sendiri.

 

Walau bagaimanapun, kali ini kita akan memberi keutamaan kepada definisi yang menekankan satu naratif baru dalam kalangan usahawan alumni di mana:

 

"Keusahawanan merupakan tentang kebolehan seseorang alumni mengubah idea menjadi sebuah syarikat yang berharga di bawah tahap ketidakpastian tertentu sambil kekal mengawal apa yang mereka ingin capai dan bagaimana mereka ingin mencapainya."

 

 

masmed

 

 

CABARAN DAN  NARATIF BARU USAHAWAN ALUMNI

 

"Satu burung di tangan lebih berharga dari seribu burung di udara"

 

Pepatah yang saya sebut ini berkait dengan Prinsip Burung di Tangan ataupun lebih dikenali sebagai The Bird-In-Hand Principle.

 

Prinsip ini memberitahu usahawan bahawa anda tidak perlu menunggu idea blockbuster atau peluang berbilion dolar untuk memulakan sesuatu perniagaan, anda boleh bermula dengan melihat masalah yang mudah dan ada jalan penyelesaian yang boleh dilaksanakan ataupun sesuatu yang anda percaya membawa keseronokan untuk dicuba dan ini boleh dilakukan!

 

Prinsip ini juga memberitahu anda untuk tidak menjalankan semua jenis peluang "hebat" seperti dibayangkan yang memerlukan anda untuk mengejar sumber kewangan yang anda tidak ada, bekerja dengan orang yang anda tidak pasti anda suka mahupun berurusan dengan teknologi dan pasaran yang anda hanya tahu sedikit dan perlu bertahan tanpa nafas untuk bersaing.

 

Dalam erti kata lain, apabila anda menggunakan The Bird-In-Hand Principle, memulakan sesuatu perniagaan yang baharu tidak lagi menjadi tindakan yang sangat berisiko kerana ini adalah sesuatu yang boleh anda lakukan dalam kekangan dan dalam kehidupan normal anda.

 

Sebagai usahawan juga, anda boleh memulakan sesuatu usaha (perniagaan) yang baharu pada bila-bila masa yang anda mahukan. Maksudnya.........

 

Anda boleh bermula sekarang!!!!!!

 

Dan sebenarnya ini merujuk kepada  siapa mereka, apa yang mereka tahu, dan siapa yang mereka tahu ". 

 

 

masmed

 

 

Tumpuan utama alumni yang ingin berkecimpung sebagai usahawan seharusnya bermula dengan persoalan mengenali diri sendiri seperti "siapa mereka, apa yang mereka tahu, dan siapa yang mereka tahu ". 

 

Sehubungan itu, para alumni yang ingin melibatkan diri sebagai usahawan seharusnya mempertimbangkan serta memikirkan personaliti, kemahiran dan kebolehan mereka, pengalaman, pengetahuan dan kelayakan mereka, dan siapa yang mereka kenali daripada rangkaian sosial dan profesional mereka.

 

Dengan itu, para alumni seharusnya bermula tanpa berlengah sejak dari mula mereka bercakap dengan orang lain tentang idea mereka. Mereka kekal fokus pada apa yang boleh mereka lakukan dan tidak membuang masa mengetahui apa yang perlu dilakukan. 

 

Bergerak tangkas (AGILE) adalah kemampuan seseorang untuk berubah arah secara tepat dan cepat tanpa kehilangan arah/tujuan.

 

Konsep ini sangat penting dimiliki dan dipahami oleh seseorang usahawan alumni kerana keadaan pasaran dan persekitaran yang akan terus berubah (VUCA).

 

Jika seseorang usahawan alumni tidak berubah (Comfort Zone) , maka mereka akan ketinggalan ditinggalkan oleh pesaing.

 

Endurance (Daya Tahan), konsep ini wajib difahami oleh seseorang usahawan alumni kerana apabila terlibat dengan keusahawanan mereka akan terdedah dengan bekerja pada tahap yang tinggi dan berterusan.

 

Daya tahan sebuah perniagaan biasanya ditentukan oleh ketekunan yang tinggi dan ini memerlukan kerja tambahan (24/7). Jika seorang usahawan alumni tidak punya daya tahan yang tinggi, maka perniagaannya tidak akan bertahan.


 

masmed

 


Para alumni yang ingin bergiat sebagai usahawan juga perlu menilai pendapat dan pandangan orang lain yang menunjukkan minat untuk bekerjasama dan komited untuk bekerja bagi usaha niaga itu . Di sinilah mereka akan mencari rakan kongsi untuk usaha niaga mereka.

 

Apabila ada orang baharu yang menyertai mereka, sebagai sebahagian dari kumpulan sumber perniagaan, maka ini akan bertambah baik dari segi kewangan atau maklumat dan matlamat baharu muncul untuk syarikat

 

Pada masa yang sama, halangan baru pasti timbul, yang menghalang perubahan selanjutnya dalam matlamat masa depan dan menghadkan siapa yang boleh atau tidak boleh memasuki rangkaian pemegang kepentingan dalam perniagaan yang alumni impikan.

 

Jika hubungan erat dengan pihak berkepentingan ke dalam rangkaian ini berterusan untuk masa yang ketara, maka pasaran baharu dan syarikat baharu akan muncul. – DagangNews.com

 

Prof Dr Abdol Samad Nawi merupakan Penolong Naib Canselor (Keusahawanan) Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) Universiti Teknologi MARA