Menjual Buku Melalui Media Sosial | DagangNews Skip to main content

Menjual Buku Melalui Media Sosial

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR
Kolumnis DagangNews.com

 

 

SAYA adalah seorang penulis sejak di Tingkatan Satu. Karya-karya saya diterbitkan oleh majalah sekolah dan Utusan Pelajar pada masa itu.

 

Saya terus menulis dari sekolah ke universiti dan bekerja hingga umur saya kini 57 tahun. Saya tetap menulis hampir setiap hari. Ilham saya banyak dan tidak boleh menampung semuanya.

 

Sudah 22 buah buku yang saya tulis dan ada lagi 11 buah yang akan diterbitkan tahun ini. Selain untuk penerbitan online seperti DagangNews.com, sebuah portal berita perniagaan.

 

Saya juga seorang pekerja korporat dan usahawan yang berjaya di Arab Saudi dan UAE sebelum terkena strok dalam bulan Ogos 2018. Sebelum itu saya belajar di New Zealand.

 

Saya mempunyai ramai rakan yang sama belajar dan sama bekerja. Mungkin dalam ribuan atau puluhan ribu jika dicampur rakan dari New Zealand, Arab Saudi dan UAE termasuk kenalan. Saya ada lebih kurang 60,000 pengikut.

 

Saya telah melawat 61 negara dan 41 buah negeri di Amerika. Saya menulis untuk berkongsi dengan rakan-rakan pengalaman yang saya telah lalui. Selain karya-karya dalam bentuk cerpen, puisi dan artikel. Ada banyak kisah pengetahuan dan maklumat yang boleh dikongsi bersama.

 

MEDIA SOSIAL

Kini kita berkomunikasi dengan Facebook, WhatsApp, TikTok, Instagram dan Twitter antara lain media sosial yang ada. Berfungsi untuk interaksi antara satu sama lain. Dengan sahabat handai, rakan sekerja, famili dan apa saja seperti grup dakwah, masjid, basikal, muzik, memancing dan bermotoran.

 

Saya melihat Facebook dan WhatsApp sebagai media sosial yang paling ramai pengikut di Malaysia. 

 

 

fudzail

 

 

Facebook memiliki rangkaian media sosial terbesar dengan lebih dua bilion pengguna di seluruh dunia. Ini termasuk memiliki WhatsApp, Messenger dan Instagram yang masing-masing digunakan lebih satu bilion orang.

 

Pandemik COVID-19 membawa amalan baharu secara dalam talian dalam kehidupan dan aktiviti masyarakat apabila Malaysia merekodkan 28 juta pengguna media sosial atau 86 % daripada penduduk.

 

Statistik  menunjukkan rakyat Malaysia antara yang paling aktif menggunakan media sosial dan bilangan pengguna meningkat sebanyak dua juta atau 7% dalam tempoh setahun dari tahun 2020.

 

Peningkatan penggunaan media sosial adalah berikutan keadaan semasa negara berdepan pandemik COVID-19 yang menyebabkan masyarakat hanya duduk di rumah ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Penggunaan Internet sekarang semakin meningkat semenjak  berhadapan dengan PKP.

 

Pengguna Internet di Malaysia mencatatkan penggunaan aplikasi WhatsApp terbanyak di dunia iaitu 51 % bagi mendapatkan maklumat dan berkongsi cerita seperti ucapan takziah, selamat hari jadi dan mendapat cucu.

 

Facebook  sebanyak 58 % pengguna, YouTube sebanyak 26 % dan 13 %, masing-masing bagi WeChat dan Instagram.

 

Rakyat Malaysia mendapatkan berita melalui media sosial sebanyak 86 %, bercetak (45 %), televisyen (54 %) dan radio (15 %).

 

Peranti utama yang digunakan adalah telefon pintar iaitu sebanyak 65 %, komputer 45% dan tablet 18%.

 

Malaysia adalah negara terbanyak menggunakan WhatsApp dengan jumlah 77 %, diikuti Facebook Messenger dengan 41 %.

 

 

fudzail

 

 

Faktor penggunaan Internet yang tinggi adalah disebabkan Malaysia mempunyai kemudahan dan penembusan internet yang baik sekali.

 

Pengguna selalu menggunakan WhatsApp sebab banyak kelebihannya. Mudah, segera dan cepat untuk berhubung dan berkongsi maklumat, perantaraan berkesan dalam sesebuah organisasi sebab setiap saat arahan atau makluman boleh dikirimkan tanpa batasan waktu dan menjimatkan kos.

 

Untuk peniaga dapat memudahkan, memperluas perniagaan tanpa memerlukan kos yang tinggi manakala dalam politik, WhatsApp merupakan alat kempen politik yang berkesan dan meluas seperti PRN Sabah dan Melaka. 

 

Boleh bayangkan satu grup WhatsApp mempunyai 300 ahli dan kalau seseorang itu mempunyai 10 grup WhatsApp, dalam masa yang singkat  sudah boleh berkongsi maklumat dengan 3,000 orang secara maya.

 

Itulah yang saya cuba mengiklan buku-buku melalui media sosial terutama Facebook dan terutama WhatsApp melalui grup.

 

Saya ada pelbagai grup dalam WhatsApp hingga berpuluh-puluh terutama kawan-kawan dari persekolahan hingga universiti dan teman-teman sekerja.

 

Saya mencuba dengan buku yang diterbitkan sendiri dengan mengiklan dalam Facebook dan WhatsApp berulang-ulang.

 

Kalau seorang rakan membeli satu naskah, sudah berpuluh ribu jualan.


 

fudzail

 

 

Tetapi saya lihat, rakyat Malaysia tidak suka membaca. Lebih suka bersembang perkara-perkara melalut di media sosial.

 

Kira-kira 76 % atau 18 juta rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas boleh dianggap sebagai sasaran pembaca buku yang berdaya beli menurut kajian baru-baru ini

 

Sebaliknya 22 % atau 5.5 juta pada kumpulan usia 15 tahun ke atas, menyatakan langsung tidak berminat dengan buku dan bahan bacaan.

 

Angka 5.5 juta adalah purata responden yang dikaji dan menyatakan jawapan: mereka tidak membeli walaupun sebuah buku.

 

Kajian mendapati data 76 % atau 18 juta rakyat Malaysia membeli sebuah buku setahun. Daripada jumlah itu seramai 59 % cuba untuk membeli lebih daripada sebuah buku setahun.

 

Manakala 19 % mampu membeli sebuah buku setiap bulan dalam setahun.

 

Budaya Membaca Buku Yang Rendah di Malaysia

Statistik kajian pada 1997 menunjukkan purata rakyat Malaysia hanya membaca sehelai muka surat buku dalam setahun. Pada tahun 2002 pula statistik meningkat kepada dua muka surat setahun.

 

Menerusi kajian  Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada 2014 mendapati yang meminjam buku oleh rakyat Malaysia membaca sebanyak 15 buku setahun.

 

Kalau  dilihat terdapat peningkatan dari sudut gaya pembacaan dari 1997 ke 2014. Ini suatu peningkatan angka yang sangat membanggakan tetapi  data ini hanya memberi gambaran secara umum kerana tidak dinyatakan genre secara tepat dan terang.

 

Kalau dibandingkan dengan negara luar pula Malaysia sebenarnya agak ketinggalan jauh dalam membaca, terutama Eropah.

 

 

fudzail

 

 

Ada kajian yang menunjukkan Mahasiswa di Malaysia hanya membaca 4 buah buku setahun. Negara lain seperti Australia ialah 180 buku, Indonesia 94 buku, India 130 buku, Thailand 56 buku dan Brunei 26 buku setahun.

 

Saya tetap mencuba menjual buku melalui WhatsApp dan Facebook walaupun rakan-rakan tidak peduli. Malah tiada langsung respons setiap mesej iklan buku.

 

Belilah buku saya kalau tidak membeli untuk diri sendiri, sedekah, infaq dan dermalah kepada sekolah atau perpustakaan.

 

Saya berharap kawan-kawan sudi mendapatkan dari saya sebagai penulis yang menjadi usahawan sebagai OKU yang lemah dan tidak berdaya ini. – DagangNews.com